comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Awas jerat scammer!, Jangan kongsi ‘screenshot’ chatbox Telegram

Oleh Salina Zakaria

KUALA LUMPUR: Teknologi kini dijadikan tiket ekspres buat penipu dalam talian atau ‘scammer’ untuk menjerat mangsa agar terperangkap.

Manakala si mangsa yang sering terjerat pula, berniat baik kerana pada mulanya hanya mahu membantu rakan atau keluarga, namun akhirnya terjerat menjadi mangsa.

Pernahkah anda mengalami pengalaman yang sama?

Atau pernahkah anda ditipu berulang kali oleh individu yang tidak dikenali, namun menyamar sebagai keluarga mahupun kenalan rapat?

Itulah yang terjadi kepada mangsa scam yang ditemui wartawan Buletin TV9, andaian ibarat mujur sepanjang hari, malang sekelip mata, amat tepat digambarkan.

Masakan tidak, nasibnya malang apabila terjerat dengan perkhidmatan pembersihan yang ditawarkan menerusi media sosial.

Siapa sangka duitnya terbang ‘bagai angin’ sebaik melakukan transaksi pembayaran dengan agen bernama Alex.

Paling sedih apabila duit yang dikebas itulah, digunakan untuk menyara keluarganya tiba-tiba lesap dek kerna si penipu durjana.

“Saya ada menghubungi agen berkenaan untuk menyelesaikan transaksi pembayaran, bagaimanapun sebaik melakukan transaksi pertama keesokkan paginya Alex tidak dapat dihubungi, telefon dia tidak berjawab dari jam 8.00 pagi sehinggalah jam 10.00 pagi. Anak saya juga mengesyaki sesuatu yang tidak kena”, ujar Norhayati Arifin ketika ditemui.

Kongsinya, sebaik berhubung dengan Alex sebelum itu, dia terkejut ribuan duit simpanan kosong di akaun bank, sebaik transaksi dilakukan.

Dirinya kini juga terpaksa berputih mata apabila hanya sekadar menanti sahaja tanpa sebarang ‘khabar’ daripada pihak berkuasa.

Kisahnya itu berlaku Oktober lalu, namun sehingga kini masih di siasat pihak bank dan polis.

“Dalam keadaan saya yang menjaga suami yang sakit, anak yang sakit, duit hilang, ya Allah saya kata, banyaknya dugaan kau bagi padaku ya Allah…”, kata Norhayati lagi.

Aplikasi Telegram kini popular menjadi lubuk penipuan scammer.

Jika tidak berhati-hati, pelbagai taktik baharu si scammer akan dilakukan termasuk menyamar sebagai rakan atau keluarga terdekat.

Bagi seorang lagi mangsa, dia turut mengalami nasib sama apabila si scammer menyamar sebagai rakan baiknya, awal tahun ini.

Ujarnya rasa risau dan prihatin menyebabkan dia meminjamkan wang ribuan ringgit kepada ‘sahabat baik barunya itu.

“Dia maklumkan kepada saya, mahu pinjam duit sebanyak RM2,000,” kata Mohamad Naufal Mohamad Idris.

Menurutnya walaupun curiga rakannya itu sudah lama tidak berhubung, Naufal tetap tidak berburuk sangka.

Namun sayangnya telahannya itu tetap betul apabila ada rakan lain yang turut ditipu ‘orang sama’ di aplikasi Telegram.

Naufal memberitahu ada rakan yang meminjamkan duit berjumlah RM2,000 hanya atas dasar prihatin.

Lain pula kisahnya individu berikut.

Dia berkongsi pernah menjadi mangsa si scammer, namun tindakannya yang pantas dan bijak membolehkan dia menggodam semula akaun si scammer.

Menurut Faez Ashfar Azhan dia tidak pernah belajar mengenai sistem ‘hackers’ mahupun teknologi maklumat namun dirinya geram dan sakit hati apabila ditipu hidup-hidup.

“ Sudah kena ‘hack’ waktu itu, tidak tahu apa nak buat dan bagaimana mahu selesaikannya, niat dihati cuma hendak dapatkan semula telegram saya sebab penting disebabkan saya bekerja sendiri dan berniaga”.

“Jadi apabila hendak guna juga saya belajar dan buat sampai jadi untuk buru ‘scammer’ tu,” kongsinya.

Sejak itu, Faez berkongsi, dia mahu membantu individu lain yang ditipu di Telegram.

Katanya dalam pemburuan si scammer ini, dia berjaya menjejak mereka di beberapa negara, namun paling kerap ditemui berpusat di Indonesia dan Amerika Syarikat

Malah bagi mangsa yang mahu mendapatkan semula akaun telegram yang digodam memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 24 jam.

Dalam ‘pemburuannya’ turut mendapati scammer sering menipu mangsa menerusi ‘chatbox’ Telegram dan modus operandi mereka adalah dengan mula bertanya khabar kepada kenalan.

Justeru, dia berpesan agar orang ramai tidak berkongsi ‘screenshot’ dari chatbox Telegram mereka.

Ia kerana tindakan itu boleh mengundang padah, susulan ‘login code’ telegram juga dikongsi tanpa disedari.

Taktik inilah yang digunakan scammer untuk menggodam akaun Telegram mangsa sebelum menyamar sebagai rakan kenalan.

Ikuti laporan kedua apakah yang boleh dilakukan pihak berkuasa dalam menangani isu ‘Scammer’ ini.

Secara eksklusif di Buletin TV9.

Loading...
Terkini