comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Benang, tali ‘sesat’ ancam nyawa penunggang motosikal

 

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Sebarang objek asing di atas jalan raya boleh mengundang kecelakaan mahupun meragut nyawa.

Isnin lalu, seorang penunggang motosikal cedera di dagu, leher dan jari apabila terkena benang yang melintang ketika melalui Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang, SUKE.

Insiden itu sekali gus menimbulkan kegusaran orang ramai apabila ada yang mendakwa ia merupakan salah satu taktik penjenayah untuk menyamun.

Malah ada juga yang mendakwa ia berpunca daripada tali layang-layang yang terputus.

Juruteknik I-T, Mohammad Muas Rosdi, 28 tahun antara penunggang motosikal yang menjadi mangsa benang melintang.

Katanya, insiden itu berlaku pada jam 6:30 petang di Lebuhraya SUKE selepas laluan keluar Taman Kosas, Ampang menghala ke tol Bukit Teratai.

“Ketika itu, saya sedang memandu motosikal dan tiba-tiba ada benang yang melekat dan telah menghiris dagu sayalah..

“Disebabkan kejadian berlaku tiba-tiba, saya terus pegang benang itu dan melepaskannya..Mujur ada orang memotong dan benang itu melekat pada motosikalnya sebelum benang itu terputus,” katanya.

Muas yang ditemui di Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya berkata, dia berhenti di laluan kecemasan kiri-kira 500 meter dari lokasi kejadian untuk memeriksa kecederaan

Selepas kisah yang menimpa Muas tular di media sosial, beberapa individu lain turut berkongsi pengalaman pernah mengalami nasib sama di beberapa lokasi berbeza di sekitar ibu negara.

Perkara itu mula menimbulkan kegusaran orang ramai terutamanya penunggung motosikal sehingga mencetuskan spekulasi perbuatan khianat untuk menyamun serta dakwaan tali layang-layang yang terputus.

“Saya harap pihak Prolintas SUKE dapat meningkatkan lagi untuk pemantauan di jalan dan lebuh raya, dan saya harap penunggang motosikal lain tak terima nasib sama macam saya,” katanya.

Sementara itu Projek Lintasan kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam memaklumkan pihaknya mengambil serius kejadian yang menimpa mangsa dan akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis.

Pasukan peronda SUKE telah mula meningkatkan pengawasan di sepanjang lebuh raya.

Katanya, sebarang aktiviti berbahaya termasuk permainan layang layang berdekatan lebuh raya akan diawasi dan dilaporkan kepada pihak polis dengan segera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini