Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Malaysia kini diiktiraf sebagai salah satu rakan negara baharu dalam gabungan ekonomi berpengaruh BRICS, yang merangkumi negara-negara dengan ekonomi berkembang pesat dan berperanan besar dalam mencorakkan landskap ekonomi global. Sebagai ahli baharu dalam blok itu, Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk meraih peluang ekonomi strategik, sambil terus mengekalkan pendekatan bebas dan neutral dalam geopolitik antarabangsa.
Apa Itu BRICS dan sejarahnya?
BRICS, singkatan bagi Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, bermula sebagai sebuah forum perbincangan yang tidak rasmi pada tahun 2006, dan seterusnya diperkenalkan sebagai blok ekonomi pada 2009. Tujuan asalnya adalah untuk membentuk satu suara bersama negara-negara yang berhasrat melihat sistem ekonomi global yang lebih adil dan kurang didominasi oleh negara maju seperti Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya.
Pada tahun 2010, Afrika Selatan menyertai BRICS sebagai ahli kelima, menambah kekuatan Afrika dalam gabungan ini. Sejak itu, BRICS berkembang menjadi platform ekonomi yang turut merangkumi negara-negara membangun lain seperti Mesir, Ethiopia, Iran, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), memperlihatkan daya tarikannya yang kuat dalam kalangan negara yang berpotensi tinggi untuk memainkan peranan penting dalam ekonomi global. Kini, BRICS mewakili lebih 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
Peluang ekonomi bagi Malaysia dalam BRICS
Penyertaan dalam BRICS memungkinkan Malaysia mengakses rangkaian ekonomi yang luas dan kepelbagaian perdagangan, sambil mengukuhkan daya saingnya tanpa bergantung pada kuasa ekonomi tunggal. Melalui kerjasama ini, Malaysia berpotensi meningkatkan eksport dan pelaburannya di kalangan negara anggota BRICS yang lain, yang kini mewakili hampir satu perlima daripada keseluruhan perdagangan dunia.
BRICS turut menawarkan faedah ekonomi penting yang melindungi negara anggota daripada kesan ketidaktentuan pasaran kewangan global, khususnya yang dicetuskan oleh perubahan dasar monetari Amerika Syarikat. Dengan pengurangan kos urus niaga serta kestabilan yang lebih kukuh dalam perdagangan antarabangsa, pengeksport dan pengimport Malaysia boleh mendapat manfaat langsung daripada pengurangan pergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat.
Kuasa ekonomi dan keseimbangan geopolitik
Malaysia kini berupaya mengukuhkan kedudukannya melalui bank pembangunan gabungan tersebut, iaitu New Development Bank (NDB) atau Bank BRICS yang berpangkalan di Shanghai, yang menyediakan pinjaman untuk pembangunan infrastruktur. Selain itu, mekanisme sokongan kewangan seperti Contingent Reserve Arrangement (CRA) bertujuan memberi sokongan kewangan semasa krisis, yang bermanfaat bagi kestabilan ekonomi Malaysia.
Penyertaan dalam BRICS turut memberi peluang kepada Malaysia untuk memperjuangkan prinsip-prinsip sistem global yang lebih adil dan inklusif, selari dengan pendekatan BRICS yang kerap menyuarakan isu-isu keadilan ekonomi dalam forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hubungan yang lebih dinamik dalam isu geopolitik
BRICS menawarkan platform penting untuk Malaysia terus mengemudi isu geopolitik global dengan pendekatan neutral dan bebas. Dalam landskap dunia yang semakin kompleks dan dibayangi dominasi negara-negara maju, Malaysia dapat mengambil peluang melalui BRICS untuk menyuarakan pendirian yang lebih mandiri serta mengekalkan hubungan strategik dengan pelbagai negara besar tanpa berisiko memperkecilkan hubungan sedia ada dengan negara Barat.
Lebih daripada 40 negara, termasuk Indonesia dan Thailand, telah menyatakan minat untuk turut serta dalam BRICS, menunjukkan daya tarikannya yang semakin meningkat di kalangan negara yang mencari keseimbangan kuasa dan peluang ekonomi alternatif dalam sistem global.
Cabaran Malaysia: Mengekalkan hubungan berhati-hati dengan barat
Bagaimanapun, penyertaan Malaysia dalam BRICS juga menuntut strategi berhati-hati, terutamanya berkaitan dengan ideologi politik dan ekonomi yang berbeza dengan negara-negara Barat. Hubungan rapat dengan BRICS memerlukan diplomasi yang bijaksana agar tidak menjejaskan hubungan penting dengan negara maju, di samping mengekalkan dasar luar yang berteraskan kepentingan nasional dan kestabilan serantau.
Dengan Malaysia bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun depan, keahlian dalam BRICS membuka lebih banyak ruang untuk memainkan peranan strategik di peringkat serantau dan antarabangsa. Pasti, penyertaan ini memberi nafas baharu kepada usaha Malaysia untuk menyeimbangkan pengaruh kuasa besar dunia sambil mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain penting di Asia Tenggara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.