Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KAJANG: Lazimnya aktiviti angkat berat sinonim dengan individu yang ingin tampil bertubuh sasa.
Namun sekumpulan warga emas di Kajang, Selangor memilih main besi demi memastikan tubuh badan sihat dan memudahkan pergerakan dalam ibadah.
Menurut mereka, aktiviti itu bukan sekadar menyebabkan mereka kekal sihat di usia senja – bahkan mampu mengekalkan stamina seperti usia 40-an.
Meskipun pada mulanya sekadar mengikut ajakan daripada anak-anak, mereka kini ibarat ketagih besi kerana faedah yang didapati daripada aktiviti ini.
Salah seorang warga emas, Azizah Zabidi, 77, berkata pada mulanya dia hanya suka-suka menghadiri kelas untuk tujuan kesihatan.
“Saya jalan pakai tongkat, tak kuat sangat, jadi kotlah boleh perbaiki sendi kaki dan tangan.
“Saya rasa masa naik tangga semakin ringan sikitlah, tak sakit sangat macam dulu,” katanya kepada Buletin TV3.
Shamsubaridah Ramli, 68, berkata, walaupun trend warga emas pergi ke gimnasium tidak berapa meluas di Malaysia, namun dia tekad demi memastikan kesihatannya terjaga.
“Bila tengok orang tua pergi gim macam ada stigma sebab tempat ini kebiasaannya dipenuhi dengan anak muda.
“Saya rasa demi kesihatan kan kena datang jugalah, tahun lepas saya pergi umrah rasa seperti terseksa semasa ingin mengerjakan tawaf, saya fikir yang saya harus lakukan sesuatu,” ujarnya.
Kegiatan ini sekaligus umpama mengisi masa lapang selepas bersara daripada kerjaya.
Bagi pasangan warga emas ini – pada mulanya hanya si isteri yang menunjukkan minat di dalam sukan berkenaan.
Lama-kelamaan Jamil Yahya,79, mula terpengaruh dan mengikuti isterinya ke kelas ini.
“Kekuatan saya semakin meningkat, jalan pun dah boleh tegak sikit dulu jalan bengkok-bengkok dan sekarang saya lebih aktif bermain golf.
Isterinya, Noraidah Yusuf, 68 berkata proses pemulihan untuk pembedahan lututnya lebih cepat apabila dia mengamalkan senaman angkat berat ini.
Menurut jurulatih kecergasan, Aina Sakina Md Hassan, dia kagum dengan kesungguhan pelatih-pelatihnya kerana mereka sentiasa konsisten dan cepat belajar.
Aina bagaimanapun tidak menolak terdapat beberapa cabaran dalam melatih kekuatan otot warga emas.
Antaranya dia perlu mengenal pasti setiap kekurangan dan kelebihan setiap individu agar tiada kecederaan kelak.
Bagi Aina, semua orang layak untuk mendapat taraf kesihatan yang optimum.
Justeru dia amat menggalakkan warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) untuk berani meneroka dan mencuba untuk melihat keupayaan tubuh badan masing-masing.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.