comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Empat anak OKU jadi tonggak perusahaan bakeri


Oleh: Izzatie Rizan

KLANG: Empat kali melahirkan zuriat namun kesemua anak Mazlin Mansor ditakdirkan ilahi Orang Kurang Upaya (OKU).

Meskipun dilahirkan istimewa, semua anaknya yang merupakan OKU kategori lembam itu mampu berdikari menguruskan diri sendiri, yang kini turut membalas jasa membantu ibu mereka dalam perusahaan biskut dan aiskrim yang terletak di Kampung Pandan Baruh disini.

Berkongsi kisah, Mazlin 60, berkata tiada kata yang mampu diucapkan, saat dimaklumkan doktor kesemua anaknya kelainan upaya.

Namun dia yang lebih mesra dengan panggilan Kak Lin reda menerima ujian berkenaan.

Menurutnya, dia sanggup meninggalkan kerjaya dalam bidang sumber manusia, demi memastikan kebajikan anaknya terjaga.

Ternyata pengorbanan itu tidak sia-sia apabila empat anaknya iaitu Muhammad Synnie Jeffry Zain 33, Muhamad Shazni Jeffry Zain 31, Muhammad Sayyid Jeffry Zin 26 dan Abdul Rahman Jefrry Zain 23 mengikut jejak langkahnya mahir membuat biskut.

Kak Lin berkata, setiap anaknya diajar pembahagian tugas masing-masing membantu perniagaan kecil-kecilannya itu.

“Apabila mengetahui anak sulung istimewa… saya juga seperti ibu lain sedih mengenang nasib anak. Kemudian saya dan suami berharap anak kedua dilahirkan normal namun ternyata takdir Allah SWT itu tak terjangkau pemikiran.

“Saya kini reda dimana saya percaya setiap ibu dan ayah yang memiliki anak syurga perlu ikhlas membesarkan mereka. Walaupun beratnya hanya kita yang rasai…InsyaAllah ada rezeki buat mereka,”katanya.

Ujar Mazlin, anaknya dididik kemahiran kendiri sejak berusia lima tahun supaya mereka mampu berdikari.

Hikmahnya ia memudahkan rutin harian empat anaknya itu.

“Saya memang tegas ajar mereka uruskan keperluan diri. Walaupun sebenarnya kasihan namun saya simpan di dalam hati sebab inilah bekalan yang saya tinggalkan untuk mereka membantu antara satu sama lain dikemudian hari.

“Mereka diajar sama seperti insan normal… perlu basuh baju sendiri, bantu kerja rumah, memasak dan kemas katil.

“Kadang kala ada waktunya saya menangis juga mengenang nasib mereka bila saya dan suami tiada, namun saya percaya adik beradik saya termasuk sepupu mereka ambil berat,” katanya lagi.

Akui Mazlin meskipun pelbagai pandangan masyarakat terhadap dirinya, namun dia bersyukur dan berasa bangga dalam serba kekurangan itu anaknya yang menjadi penguat serta saham akhirat buat dirinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini