comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Faktor cuaca panas melampau fenomena ubur-ubur terdampar di pantai Kuala Penyu

Fenomena ribuan ubur-ubur terdampar di Kampung Jangkit, di sini semalam berkait rapat dengan cuaca panas melampau. – Foto tular di media sosial

Oleh: Safwan Sawi

KUALA PENYU: Fenomena ribuan ubur-ubur terdampar di Kampung Jangkit, di sini semalam berkait rapat dengan cuaca panas melampau atau musim kemarau di Sabah menyebabkan suhu air laut panas.

Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr Ching Fui Fui berkata keadaan angin memberi kesan kepada ombak dan arus air dari arah laut mengunjur ke selatan menyebabkan ubur-ubur terdampar ke perairan cetek berhampiran pantai.

Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr Ching Fui Fui.

Menurutnya ubur-ubur spesis genus Crambione yang juga dikenali sebagai obur-obur tomato laut adalah perenang yang lemah menyebabkan lambakan spesies itu dihanyutkan ke darat ke pantai mengikut aliran ombak.

“Ini kemungkinan disebabkan keadaan cuaca sangat panas di Sabah menyebabkan suhu air laut meningkat tapi dalam masa sama keadaan ombak angin juga terkesan jadi kebanyakkan ubur-ubur ni sangat ringan dia akan terhanyut ke perairan jadi sebab itu kita nampak ubur-ubur itu terdampar sangat banyak di pantai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Ching walaupun ubur-ubur yang terdampar itu hanya boleh hidup kurang dari sehari, namun orang ramai dinasihatkan tidak mendekatinya kerana sengatan ubur-ubur terbabit masih aktif sekitar seminggu dan akan mereput selepas tempoh itu.

Katanya lagi, kemudaratan sengatan spesies ubur-ubur ini terhadap manusia tidak dapat dikenalpasti, namun kesan sengatan masih boleh menyebabkan kerengsaan dan ketidakselesaan pada kulit manusia apabila disentuh mengunakan tangan dan kaki.

Foto tular di media sosial

“Ubur-ubur ni dia ikut spesis, ada spesis berbahaya, ada tidak berbahaya. Spesis ini belum dikenalpasti cuma secara lazimnya semua ubor-ubor walaupun mati dia masih ada sengatannya. Jadi diminta semua orang ramai kalau boleh diminta jangan sentuh walaupun yang terdampar yang nampak sudah mati atau masih hidup.

“Kalau boleh jangan sentuh sebab dia punya sengatan masih dan kalau orang ramai menyentuh sama ada guna tangan ataupun kaki ini akan menyebabkan kulit tidak selesa ada sengatan.

“Ubur-ubur akan kering kecut hilang secara dia punya proses biologilah macam tu tapi kebiasaannya akan terdampar selagi air tidak menghanyutkan semula ke lautlah macam tu,” katanya.

Untuk rekod kejadian seumpama ini ujar Ching pernah berlaku di Pulau Labuan dan Kota Kinabalu pada Mac hingga Jun tahun 2020.

“Selalunya air sudah mula pasang, jadi ubur-ubur akan hanyut semula sama ada dia hidup atau mati itu tengok keadaan terdampar tu. Sebab ubur-ubur perlu air jugakan untuk hidup kalau terlampau lama terdampar nanti hanyut balik semasa air pasang kemungkinan akan hidup cuma kalau mati tu sengatan masih ada.” katanya lagi.

Foto tular di media sosial

Terdahulu tular di media sosial memaparkan ribuan ubur-ubur dikesan di Pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu, semalam.

Penduduk tempatan dari Kampung Kiaru berhampiran mendakwa fenomena seumpama itu adalah pertama kali berlaku di pantai berkenaan.

Rakaman oleh penduduk sekitar tengah hari itu juga kelihatan pantai dinaiki ubur-ubur dan sebahagian daripadanya masih hidup dan terapung di dalam air.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini