Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Himpunan Pembebasan Palestin: Palestin akan terus kuat, terima kasih Malaysia – Duta Palestin

Oleh: Fareez Azman 

BUKIT JALIL: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berterima kasih dengan rakyat Malaysia atas sokongan berterusan kepada kemerdekaan Palestin.

Bercakap di pentas Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Axiata Arena di sini sebentar tadi, jelasnya suara rakyat Malaysia terus menyuntik semangat buat rakyat Palestin untuk bangkit daripada cengkaman zionis.

“Terima kasih Malaysia, terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim, terima kasih semua parti politik Malaysia, NGO, dan semua rakyat Malaysia yang terus berikan sokongan kepada Palestin.

“Dari Bukit Jalil, kita nak bagi tahu Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) dan kerajaannya, bahawa mereka telah bunuh (pemimpin Palestin) Ahmed Yassin, Abu Jihad, Salah Shahada, Raed al-Karmi.

“Palestin akan terus kuat dan kuat, walaupun mereka telah bunuh Ismail Haniyeh, kita akan jadi lebih bersatu dan kuat serta teruskan apa kita buat dan beritahu kepada dunia,” jelasnya.

Tambah Walid Abu Ali lagi, segala penindasan serta genosid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin tidak akan membawa keamanan buat negara haram Israel.

“Benjamin Netanyahu dan kerajaannya tahu apa saja penindasan dan genosid yang dilakukan terhadap Palestin, bahawa mereka tidak akan selamat dan berada dalam keadaan selamat,” katanya lagi.

Kira-kira lebih 15,000 penonton hadir dalam Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena malam ini.

Kemuncak acara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan Pidato Pembebasan Palestin jam 9.50 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini