comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jaringan komunikasi terancam angkara si pencuri kabel


Oleh: Hilmi Abdul Malik

KOTA KINABALU: Ketika negara sedang memperkasakan jaringan telekomunikasi ada pula pihak yang bertindak selaku penghalangnya demi mengaut keuntungan mudah.

Tidak menghiraukan soal risiko bahkan ada yang sanggup menyelinap di bawah tanah untuk mendapatkan keuntungan mudah menerusi kegiatan mencuri kabel.

Jenayah berkenaan bukanlah perkara asing namun apa yang pasti ia masih lagi berleluasa dan salah satu kawasan yang dianggap panas adalah di ‘Negeri di Bawah Bayu’.

Tinjauan Buletin TV3 di sekitar Kota Kinabalu mendapati pemandangan yang ada hanya keadaan kabel yang berselirat gara-gara tindakan rakus si pelaku.

Hampir setiap kawasan yang menempatkan kabel Telekom Malaysia dianggap tidak selamat kerana selagi ada peluang ia pasti dirembat penjenayah.

Kekerapan kes yang berlaku menggerakkan pihak berkuasa dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Bantuan TM untuk menjalankan operasi khas dalam memburu dalangnya.

Hasil risikan ternyata membuahkan hasil apabila pergerakan penjenayah di awal pagi di sekitar Manggatal, Sabah berjaya dihidu dengan kejayaan tangkapan dua individu.

Tangkapan dua lelaki yang tidak mempunyai dokumen menyaksikan angka kerugian mencecah sehingga RM60,000 bagi hari berkenaan.

Cuaca hujan pula bukanlah penghalang bagi penjenayah sebaliknya ia merupakan masa terbaik buat mereka untuk melakukan kegiatan itu kerana mereka beranggapan tiada mata yang ‘memerhati’ dalam keadaan tersebut.

Bukan hanya dipotong malah lapisan getah kabel turut dibakar kerana misi utama penjenayah adalah untuk mendapatkan tembaga di dalamnya sebagai punca pendapatan haram mereka.

Harga pasaran ada yang mencecah sehingga RM35 sekilogram maka bayangkan sendiri jika hasil kecurian mereka ada yang mampu mencecah sehingga ratusan kilogram.

Selain angka kerugian, perbuatan itu secara tidak langsung mendatangkan gangguan terhadap perkhidmatan jaringan komunikasi khususnya internet yang kini menjadi sebahagian daripada keperluan harian masyarakat.

Dalam masa sama, kedai barang lusuh atau besi buruk pula seakan membuka ruang kepada si pelaku ekoran daripada pembelian hasil kecurian berkenaan sedangkan ia merupakan satu kesalahan undang-undang.

Menurut Pengurus Besar Rangkaian TM Sabah, Anis Ahmad Mohd Ibrahim, pihaknya akui tersepit dengan kegiatan itu kerana tidak hanya kerugian malah tekanan daripada pengguna yang sering berdepan gangguan internet.

“Apabila berlaku kerosakan ini setiap satu kerosakan ini kita akan ambil masa antara empat hingga 24 jam. Ada waktu tertentu kita (TM) perlu mengambil masa sehingga 48 jam untuk membaiki segala kerosakan.

“Apabila berlaku setiap kerosakan maka pelbagai impak besar akan berlaku dan ini sudah tentunya menjejaskan aspek ekonomi. Peniaga akan alami kerugian dari segi transaksi internet mereka. Begitu juga dengan aktiviti pembelajaran di sekolah yang berasaskan jalur lebar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abd Rahim pula berkata, jenayah itu tidak hanya tertumpu kepada individu malah wujud beberapa kumpulan tertentu yang bergerak aktif melakukan kegiatan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abd Rahim

‘Dia bukan hanya satu kumpulan dan mereka memang ramai. Jadi apabila ada sahaja ruang dan peluang maka mereka akan terus lakukan kegiatan ini kerana individu yang lakukan jenayah ini memang tiada pekerjaan lain,”
katanya ketika ditemu bual Buletin TV3 baru-baru ini.

Hakikatnya, itu hanya sebahagian tangkapan yang berjaya dikesan di Sabah kerana realitinya masih ramai yang bergerak aktif melakukan kegiatan itu di awal pagi untuk mendapatkan habuan mudah mereka.

Untuk rekod, Sabah mencatatkan sebanyak 1,915 kes kecurian bagi tahun lalu dan daripada jumlah itu juga, daerah Kota Belud menyaksikan jumlah kes yang tertinggi.

Persoalannya, adakah undang-undang sedia ada mencukupi untuk memerangi pergerakan haram di bawah tanah yang seakan tiada penyudahnya?

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini