comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JBPM Terengganu guna pam ‘hydro-sub’ bantu lancarkan pembersihan pasca banjir di Dungun

JBPM Terengganu menggunakan pam berkuasa tinggi (hydro-sub pump) bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan akibat banjir di Kampung Pasir Raja, Dungun. FOTO: NSTP

DUNGUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menggunakan pam berkuasa tinggi (hydro-sub pump) bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan akibat banjir di daerah ini.

Ketua Zon 2 JBPM Terengganu Azman Alias berkata penggunaan pam itu mampu menyalurkan air yang banyak bagi melancarkan dan memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Beliau berkata banjir yang melanda daerah Dungun terutama di sekitar kawasan Hulu Dungun agak berbeza kerana ia turut membawa lumpur sehingga menyebabkan kerja-kerja pembersihan masih berjalan walaupun sudah seminggu bencana itu berlaku.

“Jadi, untuk pasca banjir kali ini, pihak JBPM Terengganu mengambil inisiatif menggunakan sistem pam bertekanan tinggi dan berkeupayaan membekalkan air yang banyak. Kita menggunakan sumber air terbuka dari sungai yang berhampiran sekali gus mampu mempercepatkan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

FOTO: NSTP

Azman berkata penggunaan pam itu mampu membekalkan kuantiti air yang lebih banyak berbanding dengan keupayaan air yang diambil dari pili bomba sedia ada.

Katanya, kira-kira 10,000 liter air per minit mampu disalurkan secara terus untuk menjalankan kerja pasca banjir khususnya di kawasan sekolah yang masih terjejas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja.

Banjir gelombang keempat yang melanda Terengganu bermula 23 Januari lalu pulih sepenuhnya apabila 463 mangsa daripada 149 keluarga yang berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir beroperasi di Dungun dibenarkan pulang semalam.

Dungun menjadi daerah yang paling terjejas apabila tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun akibat banjir besar pada 25 Januari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini