Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kenang jasa ibu bapa, Zambry sebak ketika berucap di Majlis Graduasi UIAM

GOMBAK: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan penangguhan Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-40 di sini hari ini.

Berkongsi nasihatnya di hadapan hampir 1,000 graduan dan ibu bapa, jelas Zambry kejayaan yang ditempanya sehingga kini semua bermula dari pengorbanan ibu bapanya di Pulau Pangkor suatu ketika dahulu.

“Saya agak sebak dan sayu sedikit kerana saya mengenang waktu ucapan saya pada graduan supaya ingat jasa ibu bapa. Siapa pun mereka tidak kira bergelar Tan Sri, Datuk Seri ataupun manusia biasa nelayan, pesawah, petani, buruh kasar atau apa pun bidang pekerjaan mereka, jasa ibu bapa sangat besar.

“Inilah nilai yang diajar dalam UIAM dan kehidupan kita supaya sentiasa menghargai jasa ibu bapa, saya datang dari keluarga yang susah dan sebagai anak nelayan dan ibu saya terpaksa gadai barang untuk pastikan saya masuk ke UIA pada masa itu,” katanya yang juga graduan UIAM.

Tambahnya, beliau berbangga diberi penghormatan luar biasa apabila diminta menyampaikan ucapan pada konvokesyen UIAM ke-40 hari ini.

Lebih manis, beliau turut menyerahkan sendiri sijil graduasi kepada anak bongsunya, Mukhlis Zambry dalam majlis itu.

“Saya berasa bangga dan syukur kerana ini adalah kenangan yang benar-benar bersejarah, baik secara peribadi mahupun profesional. Sebagai anggota kumpulan mahasiswa pertama UIAM dan kini sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, ia menjadi kehormatan luar biasa untuk saya menyampaikan berucap pada konvokesyen ini.

“Saya ada lima anak dan kesemua anak saya belajar di sini bukan kerana tidak mempunyai keyakinan dengan universiti lain tapi mereka suka belajar di sini.

“Saya juga tidak memaksa mereka dan Alhamdulilah anak-anak belajar di UIAM dan sudah menjadi ahli farmasi, biomedik dan bidang undang-undang,” jelasnya lagi.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil kepada 565 graduan daripada jurusan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim dan Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam majlis itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini