comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kenapa lagu raya lama malar segar?

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Penghasilan lagu bertemakan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dilihat perlu menerapkan elemen kebudayaan yang penuh dengan adat dan kesopanan.

Karya yang mampu memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada pendengar masa kini, malah kepada generasi akan datang.

Apakah kriteria yang menjadikan karya yang dihasilkan itu tidak bersifat sementara, malah mampu malar segar sepanjang masa?

Buletin TV3 mendapatkan beberapa pandangan daripada penggiat seni, antaranya penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan yang melihat penghasilan lagu raya masa kini hanya bersifat sementara dan kurang memberi kesan kepada pendengar.

“Lagu-lagu baru ini pada saya, mungkin saya salah, seperti bunga api lah, akan meletup tetapi sekejap sahaja.

Penerbit & penulis lirik, Datuk Habsah Hassan

“Orang akan tetap mencari Dendang Perantau, Selamat Hari Raya oleh Saloma, Suara Takbir. Jadi ini tidak boleh dielakkan sebab yang muda akan meningkat dewasa, jadi mereka pun tidak boleh terima lagu sebegini.

“Mungkin sekali sekala kita terpaksa mengimbau balik keindahan seni kata lagu lama dan mengapa ia berkesan hingga ke hari ini,” katanya.

Tambahnya, walaupun memahami trend masa kini, namun rugi sekiranya karya yang dihasilkan itu tidak berkualiti, sedangkan modal, bakat dan tenaga banyak dicurahkan untuk penghasilannya.

Nada sama turut disuarakan penulis lirik lagu Nirmala dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, iaitu Kamarulzaman Taib atau dikenali sebagai Che Kem.

“Terapkan elemen yang baik tentang masyarakat Islam yang meraikan Hari Raya ini. Kalau kita nak terapkan kemajmukan masyarakat Malaysia, terapkan yang baik.

Penulis lirik, pelakon & pensyarah ASWARA, Kamarulzaman Taib @ Che Kem

“Jangan ambil perkara yang bersifat trending orang muda, kanak-kanak suka kerana sekelompok yang suka tetapi tidak menggambarkan keseluruhan. Itu kan jadi tidak adil kerana ia akan membawa kepada masa depan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi legenda, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave menyeru penggiat seni bersungguh-sungguh dalam menjiwai setiap penghasilan karya lagu demi memelihara kualiti dan impak kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Penyanyi legenda, Datuk Irwan Shah Abdullah @ Dj Dave

“Nak menyanyi dengan keluarga pun, mesti berbalik kepada lagu-lagu lama. Kenapa tidak dengan lagu-lagu baru ini? Mungkin dengan rap ke apa tetapi bukan semua boleh buat rap. Mesej dia tidak sampai.

“Saya tidak cakap Rap tidak bagus, memang ada pasaran untuk itu tetapi sekejap. Jadi untuk mendapatkan lagu ini sebagai nostalgia 20 tahun akan datang mungkin tiada.

“Kenapa lagu-lagu 50an, 60an dulu masih segar? Pasti ada keistiwewaannya, jadi pencipta perlu mencari kelainan itu.

Selain penggiat seni, syarikat penyiaran radio dan televisyen juga dilihat memainkan peranan bagi memastikan karya yang berkualiti dijadikan sebagai kriteria utama sebelum ia disiarkan kepada umum.

Ia berikutan karya seni tidak kira nyanyian, lakonan mahupun penulisan seharusnya bukan hanya sekadar untuk hiburan semata-mata, namun ia perlu mampu dijadikan sebagai bahan pengisian yang lebih bersifat mendidik, memberi teladan serta pengajaran yang positif kepada umum.

Justeru, ia tidak wajar dipandang remeh oleh semua pihak dalam membentuk seni bangsa yang kaya dengan adat dan budaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini