Oleh: Kadir Edison
BINTULU: Sebuah kilang memproses aluminium di Taman perindustrian Samalaju di sini terbakar dalam kejadian malam tadi namun tiada kemalangan jiwa berlaku.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.50 malam lalu mengarahkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Samalaju bersama sembilan anggota Hazmat untuk ke lokasi kejadian.
Sebuah kilang memproses aluminium di Taman perindustrian Samalaju terbakar dalam kejadian malam tadi namun tiada kemalangan jiwa berlaku. pic.twitter.com/A1B3cJMKYx
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 10, 2024
“Setibanya di lokasi kejadian Komander operasi melaporkan kejadian berlaku akibat kebocoran semasa proses pencairan logam aluminium di kilang berkenaan yang tidak dapat bertindak balas dengan air.
“Semasa kejadian keadaan cuaca di lokasi hujan dan berlaku letupan namun tiada melibatkan mangsa susulan kesemua 61 orang perkerja kilang terbabit semasa kejadian telah diarahkan keluar ke tempat selamat oleh pasukan tindakan kecemasan kilang itu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil perbincangan bersama pihak keselamatan kilang terbabit, tindakan seterusnya adalah dengan menunggu bahan tersebut menyejuk sebelum tindakan menabur serbuk alumina dapat dilakukan bagi memandamkan kebakaran itu.
Bagaimanapun, sehingga jam 3.43 pagi tadi tindakan itu masih tidak dapat dilaksanakan memandangkan keadaan cuaca masih hujan di lokasi berkenaan.
“Pada jam 6.20 pagi, Komander operasi lapor bahan yang terbakar telah pun padam sepenuhnya dan hasil perbincangan dengan pihak keselamatan kilang, pihak bomba akan memasang tali sawar-sawar di lokasi kejadian selepas aluminium cair tersebut sejuk sepenuhnya,” katanya.
Kebakaran terbabit menyebabkan kerosakan sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan bangunan kilang terbabit.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.