comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Konvensyen Kerajaan Perpaduan: Mantapkan perpaduan pelbagai parti dalam kerajaan

 

Oleh Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Setelah hampir enam bulan mengurus negara, Kerajaan Perpaduan akan mengadakan konvensyen sulungnya esok di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Bersandarkan sokongan 19 parti diwakili 148 Ahli Parlimen, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup kukuh dalam menawarkan kestabilan politik bagi memulihkan ekonomi negara dan menangani permasalahan rakyat.

Namun, Kerajaan Perpaduan tidak sepi daripada asakan dan percaturan yang diatur pihak lawan.

Justeru, selain mempamerkan kerjasama erat, konvensyen esok juga penting untuk Kerajaan Perpaduan menyerlahkan kemampuannya menangkis sebarang cubaan mencetuskan ketidaktentuan politik.

Kerajaan Perpaduan dibentuk November lalu, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan ketidaktentuan politik susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Namun, belum cukup enam bulan memerintah, pelbagai spekulasi bertebaran mengenai cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar.

Pemimpin yang dulu tidak sehaluan, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali akrab.

Malah, Presiden PAS dan beberapa pemimpin parti itu serta BERSATU mengangkat sama proklamasi Melayu yang diilhamkan Tun Dr. Mahathir.

Kemesraan Tan Sri Abdul Hadi dan Tun Dr. Mahathir dilihat berkait rapat dengan pilihan raya di enam negeri yang dijangka diadakan Julai ini.

Mereka bersama pengikut masing-masing mencanang dakwaan bahawa orang melayu kini terpinggir di bumi sendiri.

“Kalau orang kata kedudukan orang melayu bumiputera terancam kita tak dengar isu-isu yang menyentuh soal ini bahkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri mengumumkan pelbagai dasar dan polisi menambah peruntukan untuk JAKIM lebih 1.2 bilion menambah peruntukan untuk sekolah agama, ia diterima baik oleh parti-parti lain,” kata Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Bagi Datuk Seri Anwar yang patut dipersoalkan rekod pemimpin lalu, yang cakap lain, bikin lain.

“Betul nak tolong melayu? Ya. Yang kamu ambil berpuluh billion untung bagi setengah kepada orang melayu esok,” katanya.

Yang jelas, retorik Tun Dr. Mahathir, Tan Sri Abdul Hadi dan pemimpin PN lain mengenai nasib orang melayu tidak akan reda, malah lebih lantang menjelang PRN.

Begitu juga, dengan desas-desus mengenai cubaan pembangkang mendapatkan sokongan di Parlimen untuk menguji keabsahan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Jika nak ubah atau kalih biarlah ia berlaku dalam Pilihan Raya yang ke-16. Ketika itu, kita boleh masih suburkan nilai demokrasi dan dalam tempoh lima tahun ini saya percaya pelbagai perkara boleh dilakukan oleh baik parti pemerintah atau pembangkang dan akhirnya mandat itu biarlah sampai semula kepada rakyat,” kata Penganalisis Politik, Prof. Sivamurugan Pandian.

Dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar jauh daripada rapuh, malah amat kukuh dan tidak mudah digulingkan.

Gandingan Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah serta sekutu lain berjaya memulihkan kestabilan politik yang kecundang sebelum ini.

Tidak dinafikan kunci kepada ketahanan Kerajaan Perpaduan turut berpaksi kepada tahap kerjasama dan kesefahaman antara PH dan sekutunya.

Ia penting untuk menepis cubaan mana-mana pihak menangguk di air keruh apabila timbul pandangan berbeza, contohnya antara pemimpin UMNO dan DAP.

Kebolehan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan mengatasi krisis politik di Sabah baru-baru ini mencerminkan keupayaan menguruskan perbezaan antara mereka.

Manakala rundingan lancar mengenai pengagihan kerusi untuk PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga petanda baik kepada masa depan Kerajaan Perpaduan.

Konvensyen esok juga penting untuk menandakan kesiapsiagaan parti-parti berkenaan mencapai keputusan meyakinkan pada PRN di enam negeri demi memperkuatkan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Loading...
Terkini