Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lawatan rasmi PM ke Mesir perkukuh hubungan diplomatik selama 65 tahun

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Hubungan diplomatik Malaysia dan Mesir akan memasuki tahun ke-65 esok, sejak terjalin pada 10 November 1959.

Ia lebih signifikan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu dengan memperkukuh asas kerjasama yang menjadi sinergi ke atas usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global demi kepentingan bersama, terutama mengenai konflik Palestin.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian, menerusi lawatan rasmi empat hari itu, Datuk Seri Anwar akan diberikan sambutan negara di Istana Al Ittihadiah di Kaherah oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

Mesyuarat dua hala dijangka tertumpu kepada kemajuan hubungan menerusi peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penerokaan baharu dalam industri halal, kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui.

Datuk Mohd Tarid Sufian, Duta Besar Malaysia ke Mesir.

“Yang paling utama perbincangan akan tertumpu kepada pertukaran pandangan dan hala tuju bidang kerjasama berkepentingan bersama iaitu dalam isu konflik di Palestin.

“Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri satu sesi dimana akan diadakan pertukaran memorandum (MoU) persefahaman antara kedua-dua negara, iaitu antara Malaysia dan Al-Azhar Al Sharif bagi kerjasama di Fakulti Ulum Islamiah, serta bagi kerjasama Malaysia dan Mesir dalam bidang hal ehwal agama, ” katanya ketika ditemui media Malaysia di sini.

Ujarnya, dalam lawatan berkenaan Datuk Seri Anwar turut dijadual menyampaikan ceramah umum di hadapan pensyarah dan pelajar Universiti Al-Azhar, selain menganjurkan sesi libat urus bersama pemain industri tempatan dan merasmikan Pusat Operasi Pemasangan Proton Saga di Mesir.

Sidang media di Kaherah, menjelang lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir.

Perdana Menteri dijangka tiba ke Mesir kira-kira jam 12.30 tengah malam ini waktu Malaysia.

Ini merupakan kunjungan kali kedua Datuk Seri Anwar ke Mesir sejak lawatan pertama pada Oktober tahun lalu.

Mesir merupakan rakan dagang ke-5 terbesar Malaysia di antara negara Afrika pada 2023 dengan nilai dagangan RM3.35 bilion, yang mana imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

Jumlah itu dijangka terus meningkat bagi tahun ini, berikutan nilai dagangan yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga September lalu telah mencecah RM3 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini