comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

[VIDEO] Memupuk nilai jati diri dengan seni warisan


Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Seni teater tradisional di negara ini perlu terus mendapat sokongan semua pihak agar ia dapat bertahan sehingga generasi akan datang.

Walaupun perubahan zaman menyaksikan perbezaan dalam penyampaian persembahan oleh penggiatnya, namun mewujudkan nilai jati diri rakyat Malaysia yang berbilang kaum adalah penting.

Oleh itu, memperbanyakkan persembahan dan bengkel kepada umum wajar dilakukan untuk lebih mengenali seni warisan bangsa.

Salah satu seni teater tradisional itu adalah Makyung, yang merupakan teater Melayu lahir di Istana Melayu Patani kira-kira 400 tahun yang lalu, sebelum tersebar ke negeri Timur Semenanjung, terutamanya Kelantan.

Seni warisan itu sifatkan unik dan halus dimana ia mempunyai unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang dipentaskan secara teater keliling.

Setiap persembahan Makyung akan bermula dengan upacara ‘Mengadap Rebab’ yang merupakan alat muzik penting dalam persembahan itu, sebelum nyanyian ‘Sedayong Makyung’ dialunkan oleh Pakyung.

Struktur setiap cerita yang dipentaskan itu bermula dengan upacara ‘Mengadap Rebab’ di mana watak utama akan menyanyikan ‘Sedayong Makyung’.

Bagi pemain Makyung yang memegang watak Pakyung, Lee Yong Shan, dia teruja kerana dapat merasai pengalaman baharu mempelajari seni persembahan tradisional itu.

Lee Yong Shan yang berperanan memegang watak Pakyung atau watak utama dalam pementasan Makyung : Batak Raja Gondang di ASWARA, Kuala Lumpur.

“Menentukan identiti saya sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kaum Cina pun boleh jadi Pakyung dan berlakon dalam teater tradisional Melayu.

“Pengajaran banyak saya dapat antaranya hormat menghormati. Dia ada adat yang perlu ikut dan saya perlu fahamkan semua struktur itu baru saya dapat ikut semua benda itu.” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Salah satu gerak tarian ‘Menghadap Rebab’ yang dikenali sebagai ‘Tangan Seludang Menolak Mayang’.

Kongsi Yong Shan yang merupakan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), mempelajari dialog loghat Kelantan merupakan cabaran buatnya.

Bagaimanapun, dibawah bimbingan Adiguru Makyung, Fatimah Abdullah, kebolehan menguasai semua kriteria sebagai pemain Makyung dapat dicapai.

Fatimah Abdullah merupakan Adiguru Makyung yang mempunyai pengalaman luas dalam seni warisan itu.

Menurut Fatimah, setiap teater Melayu mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri dan perlu diberi pendedahan kepada setiap generasi.

“Makyung ini berbeza antara Randai, Mek Mulung, Bangsawan, dari segi persembahan pun berbeza, jadi kita kenal kalau Makyung ini dia bunyi macam mana.

“Bangsawan bunyi macam mana. Kalau Randai kita tahu permainan macam mana. Jadi semua seni tradisional ini memang berbeza. Jadi kita kena mengenali.” jelas Fatimah.

‘Peran Tua’ dan ‘Peran Muda’ merupakan antara watak penting dalam pementasan Makyung kerana perlu membawa cerita dengan jenaka.

Sementara itu, Pakar Sosial Budaya dan Warisan berpendapat, seni tradisional perlu dipertahankan dan diperluaskan dengan memberi lebih banyak pendedahan kepada komuniti.

Ini kerana setiap persembahan itu mempunyai elemen nilai murni selain jati diri yang boleh dipelajari agar dapat mewujudkan perpaduan masyarakat yang harmoni.

“Penglibatan komuniti atau masyarakat setempat perhampiran kawasan atau tempat yan menjadi tumpuan harus diberi tumpuan untuk memastikan supaya sesuatu persembahan atau tradisi itu terus kekal dan meneruskan kelangsungan.

Dr. Mohd Yuszaidy Mohd Yusoff merupakan Pakar Sosial Budaya dan Warisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

“Disini perlu menerapkan kepada masyarakat setempat terutama kanak2 yang merupakan sebagai penerus kepada tradisi tersebut.” ujar Dr. Mohd Yuszaidy Mohd Yusoff.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini