comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mendapan tanah: Pasukan SAR dipercayai sedang teliti kaedah lebih efektif 

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR : Perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India masih tertumpu di lokasi kejadian.

Menerusi pemerhatian Buletin TV3, pasukan SAR dipercayai sedang meneliti kaedah yang lebih efektif dalam usaha mencari mangsa Vijaya Lakshmi Gali, 48.

Ketika ini, pihak media masih ditempatkan di kawasan khas bagi mengikuti perkembangan operasi SAR di lokasi kejadian, namun masih belum memperolehi maklumat rasmi.

Petang ini dijangka akan diadakan sidang media berhubung operasi SAR.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad yang ditemui di Putrajaya berkata, pihaknya merumuskan operasi SAR menggunakan kaedah penyelaman adalah terlampau berisiko.

Ia berikutan terdapat halangan yang keras, ruang sempit dan keadaan arus air di saluran kumbahan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menerusi satu kenyataan memaklumkan, tiga pam elektrik berkapasiti tinggi digunakan dalam operasi SAR bagi menurunkan paras air dari lurang lokasi kejadian sehingga lurang di Wisma Yakin.

Ia bagi memudahkan usaha penelitian semula jajaran paip, selain penggunaan jentera berat bagi membantu melaksanakan kerja-kerja penebukan bagi membolehkan saluran paip penyedut tambahan yang dibawa oleh Indah Water Konsortium (IWK) digunakan untuk menurunkan paras air seminima yang mungkin.

Pada 23 Ogos lalu, Vijaya Lakshmi Gali, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter yang disebabkan oleh mendapan tanah di Jalan Masjid India.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini