comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mentor Mentee Bilik Berita: Buka platform fahami industri media

NILAI: Jabatan Berita dan Ehwal Semasa (NCA), Rangkaian Televisyen Media Prima menganjurkan ‘Program Outreach: Mentor Mentee Bilik Berita, di Universiti Sains Islam Malaysia, USIM, semalam.

Program yang disertai seramai 61 pelajar Jurusan Komunikasi Dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tujuh personaliti Media Prima iaitu Norliza Mohd Zain, Amirul Hakim Lokman, Asrulnizam Kadir, Fatin Hamimah Yusof, Saberi Abdul Malek, Fahiz Ariff dan Afrina Romzi.

Pelajar Komunikasi USIM diberi pendedahan mengenai industri media oleh personaliti Media Prima. – FOTO: Ihsan pelajar

Pensyarah Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, FPK, USIM, Dr Norhayati Rafida Abdul Rahim berkata kolaborasi ini langkah tepat selaras dengan objektif program iaitu memberi pendedahan awal mengenai cabaran dan realiti industri media kepada mahasiswa.

“Pengalaman industri itu sangat bernilai, jadi, dengan adanya program sebegini kita dapat lihat ruang pembelajaran itu tidak terhad kepada teori sahaja.

“Malah, mereka berpeluang ‘cedok’ pengalaman daripada pemain industri tentang karier yang mereka akan ceburi nanti”, ujarnya.

Senada dengan itu, Penerbit Eksekutif, NCA TV3, Norliza Mohd Zain berharap segala tanda tanya atau permasalahan yang membelenggu mahasiswa komunikasi USIM dapat dirungkai menerusi program yang julung kali diadakan ini.

“Sesi perkongsian mentor-menteee ini yang juga mendapat kerjasama daripada USIM bagi saya ianya sangat bermanfaat dan saya kira ia adalah satu inisiatif yang sangat bagus.

“Terutamanya memberi pendedahan kepada mahasiswa yang sangat ingin tahu mengenai industri yang kami ceburi ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar Muhammad Asyraff Hafizi Mohd Azhar percaya penganjuran program ini sangat bermanfaat dan penuh informasi.

“Sangat bermanfaat dan memberi satu pencerahan baru lah kepada diri saya dan juga kawan-kawan saya”, katanya.

Selain itu, pelajar Nurun Najhan Abd Rahim juga berkongsi pandangan yang sama kerana slot sesi perkongsian daripada personaliti Media Prima sangat membantu mereka untuk fahami selok-belok industri.

“Pengalaman yang dikongsikan oleh setiap panel dari MPB sendiri sangat bagus.

“Harap-harap, boleh saya dan kawan-kawan manfaatkan kan dalam bidang kerjaya yang akan kami ceburi kelak,” katanya.

Artikel ditulis oleh pelajar Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia, Ayu Zahira Darwes dan Muhammad Arif Abd Aziz.

Loading...
Terkini