comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pemandu Lamborghini diambil keterangan kerana pandu melulu

KOTA TINGGI: Polis sudah mengambil keterangan daripada lima pemandu Lamborghini yang terbabit dalam konvoi sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di Lebuh Raya Senai Desaru di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata kesemua pemandu lelaki (tempatan) berusia 44 hingga 64 tahun itu diambil keterangan selepas polis mengesan kenderaan mereka di kawasan sekitar Desaru pada jam 11.40 pagi tadi.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Ia susulan video tular berdurasi 71 saat mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi tadi.

Foto tular antara pemandu Lamborghini yang didakwa memandu secara melulu di Lebuh Raya Senai Desaru pagi tadi.

Pergerakan kenderaan adalah daripada Senai menghala ke Bandar Penawar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin berkata hasil siasatan awal mendapati mereka mempunyai program di Penawar di sini.

Berdasarkan video tular itu, beberapa buah kereta mewah dipercayai dalam konvoi, memotong laluan secara merbahaya di Lebuh Raya satu lorong Senai-Desaru.

Perbuatan itu menyebabkan beberapa kenderaan dari arah bertentangan memberikan isyarat lampu dan menghimpit ke bahu jalan bagi mengelak bertembung.

Tambah Hussin, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dan melakukan aksi-aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Loading...
Terkini