KUALA LUMPUR: Personaliti media sosial, Khairul Aming, menyentuh hati rakyat Malaysia melalui muat naik video dan mesej memaparkan semangat perpaduan antara semua kaum di negara ini sempena Hari Malaysia yang disambut Isnin ini.
Ternyata, keharmonian antara pelbagai kaum itu berjaya ditunjukkan melalui acara Keretapi Sarong 2024 semalam dengan memaparkan pelbagai pakaian tradisi dikenakan pengunjung.
Khairul Aming yang membuat kemunculan istimewa pada acara itu dengan mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara bersama ribuan peserta pada program berkenaan.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman turut mengakui air matanya menitis ketika menyunting video terbabit kerana rasa bertuah dilahirkan di Malaysia yang harmoni.
“Jangan biarkan sesiapa pecahkan perpaduan negara kita. Sama-sama kita pelihara dan bangga dengan tanah air kita,” katanya melalui kapsyen di video berkenaan.
Berdasarkan video itu, Khairul Aming juga mahu semua rakyat Malaysia mempertahankan keharmonian negara kerana pada akhirnya hanya ‘kita yang akan jaga kita’.
“Hari ini kita semua naik kereta api, tersenyum dan berpeluh sama-sama menyanyi. Malaysia inikan sebenarnya kaya dengan agama, budaya dan bangsa sebab itu kalau difikirkan sebenarnya susah hendak cari negara yang unik macam negara kita.
“Memang betul, kadang-kala ketidaksefahaman itu wujud, itu memang tidak kita nafikan tapi dalam negara yang terus berubah ini, kitalah kena sama-sama pertahankan keharmonian negara kita ini…pusing sana, pusing sini akhirnya kita ini yang jaga kita,” katanya.
Usahawan berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, pihaknya meminta rakyat Malaysia tidak mempertaruhkan harga sebuah perpaduan dengan berselisih faham atas perkara kecil.
Ini kerana, katanya, perpaduan tidak akan mampu dicapai dengan hanya usaha yang dilakukan oleh seorang dua pihak namun memerlukan gandingan bersama.
“Negara kita memang tidak sempurna, kalau tengok berita pun ada sahaja benda yang tidak kena setiap hari tapi dalam masa yang sama, jangan kita lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang kita dapat.
“Malaysia dikurniakan dengan tanah yang subur, alam sekitar yang indah, orang yang baik dan negara yang aman… jadi janganlah disebabkan benda kecil kita berselisih faham,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.