KLUANG: Polis mengeluarkan amaran keras kepada parti bertanding agar tidak menyentuh isu sensitif termasuk 3R (bangsa, agama dan raja) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berlangsung.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar pihaknya juga menasihatkan semua parti, penyokong dan orang ramai supaya mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya berharap tempoh berkempen ini berjalan dalam suasana aman dan harmoni.
“Justeru, semua pihak diminta mematuhi setiap peraturan yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk pasukan polis supaya ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penamaan Calon PRK Dun Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, hari ini.
Sementara itu, Kumar berkata, pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kejadian banjir sepanjang PRK berlangsung.
“Bot dan lori bersama kekuatan 38 anggota telah ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kluang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.