comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Projek baiki tembok tak siap-siap, ancam keselamatan penduduk

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SHAH ALAM: Lebih 500 penghuni di pangsapuri Delima Taman Bukit Jelutong, Shah Alam berdepan pelbagai masalah berikutan projek membaiki tembok di belakang kediaman mereka yang sepatutnya siap 12 Januari lalu tertangguh.

Lebih mengecewakan kawalan keselamatan di sekitar tapak pembinaan dipandang enteng, sekali gus mengancam keselamatan penduduk.

Dakwa penduduk, pada awalnya projek lantikan vendor oleh majlis bandaraya shah alam (MBSA) itu dilaksanakan bertujuan membaiki runtuhan tembok parit di belakang Pangsapuri Delima.

Jelas Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Pengurusan Bersama (JMB) kediaman, Mohd Nizam Abdul Rahman, akibat projek tidak siap, runtuhan tanah beberapa kali berlaku hingga menyebabkan kawasan tapak projek perlu diperbesarkan.

“Pada awalnya sikit sahaja berdasarkan (book order) yang saya tengok dan diberi oleh kontraktor melibatkan kerja penyelenggaraan kerana terdapat runtuh sedikit sahaja pada bahagian dinding dan bukan seperti yang berlaku ini,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila tiada tanda amaran mahupun papan penghadang yang ditempatkan menandakan ia kawasan larangan.

Ketika tinjauan ini dilakukan, bongkah batu hanya dibiar di tepi jalan, tanpa sebarang tali keselamatan manakala peralatan projek terbabit tidak disimpan dengan baik, mengundang bahaya kepada kanak-kanak, berikutan terdapat taman permainan berhampiran.

Penduduk Muhammad Zulfadhlee Zulkiflee, pada waktu malam pula kawasan ini gelap gelita dan mendatangkan risiko keselamatan kepada penghuni dan mereka yang melalui kawasan ini.

“Kalau malam ada penghuni lalu untuk pergi ke kereta mereka, memang tidak nampak apa-apa di sini, jadi boleh tergelincir lebih-lebih lagi apabila hujan memang sangat berbahaya,” jelasnya.

“Adakah nak tunggu sampai kanak kanak masuk jatuh ke dalam longkang dulu, dan kita ada satu lagi kes yang tak sepatutnya baru pihak berkuasa tempatan nak ambil tindakan? Sebab kita pihak pengurusan, kita sendiri pun dah cuba meletakkan tali dengan kos kita sendiri, ” ujar AJK Bahagian Operasi JMB Akmal Azizi.

Kejadian tanah runtuh juga berlaku beberapa kali kerana terdapat saliran air bawah tanah sekaligus menyukarkan kerja-kerja disiapkan.

Penghuni turut mendakwa, mereka perlu berkongsi tujuh petak parkir bagi memberi laluan menempatkan tanah dan alatan kerja projek, namun jumlah itu kini bertambah kepada 17 petak parkir.

Pengarah kejuruteraan MBSA Hanif Basree Abdul Rahman berkata, punca kelewatan disebabkan terdapat runtuhan lebih besar berlaku pada parit yang pada asalnya diselenggara kontraktor dilantik.

Runtuhan itu menjadikan keseluruhan struktur parit tidak stabil seterusnya memerlukan penilaian semula kerja-kerja dengan skop yang lebih besar.

“Kita dah mengarahkan kontraktor untuk menambah barricade (penghadang jalan) , blinkers (lampu pengelip) untuk tingkatkan faktor keselamatan dan kita tempatkan juga lampu untuk bahagian ini, bagi mengelakkan kenderaan terlajak dan kanak-kanak dari memasuki kawasan ini,” katanya kepada BuletinTV3.

Tambahnya projek dijangka siap 17 Jun ini namun bergantung kepada keadaan cuaca.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini