comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis berangkat ke Hari Kraf Kebangsaan 2024

FOTO: Ihsan Raja Muda Perlis

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 yang sedang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay dari 21 Februari sehingga 4 Mac depan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Keberangkatan tiba baginda berdua diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli.

HKK 2024 merupakan penganjuran kali ke-21 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Hari Kraf Kebangsaan pada tahun ini diadakan bertujuan bagi memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf kepada pembangunan industri kraf negara dengan melibatkan penyertaan seramai 640 orang usahawan kraf daripada bidang kraf tekstil, hasil logam, hasil rimba, hasil tanah dan aneka kraf.

Berkonsepkan ‘Kraf Identiti Malaysia’, memaparkan elemen keunikan dan keaslian produk kraf Malaysia yang baharu menerusi reka bentuk produk daripada elemen kebudayaan masyarakat tempatan.

Kelainan penganjuran pada kali ini turut menampilkan demonstrasi Kraf Antarabangsa dengan mengadakan aktiviti bersama juru demo antarabangsa dari empat buah negara iaitu Republik Rakyat China ‘Anyaman Buluh, Seramik dan Jewellery’, Uzbekistan ‘Copper Tooling’ dan Seni Hiasan Seramik’, India dengan ‘Sulaman Zari/ Zardosi’ serta ‘Thai Silk’ dari Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2024 jam 10 pagi esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini