comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Roy Ratnaku diuji lagi, ibu jari kaki kanan mungkin dipotong

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: “Meskipun uzur, saya akan tetap busking sebab inilah punca rezeki saya,” itu luahan penyanyi otai yang popular dengan lagu Ratnaku, Roy yang kini menderita penyakit diabetis.

Kongsinya kepada Buletin TV3, sejak setahun lalu penyakitnya itu semakin serius setelah mengalami jangkitan pada ibu jari kaki kanan yang kemungkinan kata doktor akan terpaksa dipotong.

Ditemui ketika sedang melakukan persembahan di sebuah pusat beli belah di Setiawangsa, di sini, suara penghibur ini masih sama seperti dahulu.

Berikanlah apa sahaja lagu, Roy tetap Roy, bersuara emas menghiburkan pengunjung yang hadir.

Bagaimanapun, keadaan terkini beliau membataskan pergerakkannya yang mana jangkitan itu menyebabkan kaki kanan membengkak.

Namun pemilik nama sebenar Muhammad Rauzan Alwi, 60 tidak pernah patah semangat mencari rezeki.

Beliau yang kini perlu memakai kasut khas berkata, luka pada kaki kanannya perlu dicuci setiap hari bagi memastikan ia tidak bernanah serta merebak

“Setahu abang, doktor ada cakap selalunya ubat antibiotik untuk jangkitan di tulang ini selalunya tiada ubat, sebab itu mereka kata ibu jari kaki ini terpaksa dipotong.

“Buat masa ini, hasil ujian darah yang dibuat di Hospital Klang baru-baru ini memaklumkan tiada lagi jangkitan baharu, cuma itulah daripada jangkitan di bahagian tulang dah merebak ke daging jadinya keadaan ibu jari kaki abang macam merekah dan pecah sebab itu perlu dressing (cuci luka) setiap hari.

“Dua minggu lepas bernanah teruk sekarang dah kurang, keluar air sahaja di bahagian luka. Untuk buat dressing dan suntikan antibiotik tidak murah, sebab itu kadang-kadang abang terpaksa dressing sendiri sebab nak pergi setiap hari RM50 hingga RM60, abang tak mampu,” katanya.

Menurutnya keputusan sama ada ibu jari kaki kanannya perlu dipotong atau tidak akan diketahui minggu depan.

Tabah menghadapi ujian hidup, Roy bersyukur kudratnya mencari rezeki masih diizinkan Allah S.W.T walaupun beliau mendakwa ada yang memandang negatif mata pencariannya kini.

Mengulas lanjut, penghibur ini memberitahu dirinya bukan merajuk daripada industri seni tanah air sebaliknya mendedahkan pernah diperlekehkan pihak tertentu apabila ditawarkan RM200 hingga RM300 untuk mengadakan persembahan.

“Busking ini bagi seorang penghibur adalah platform paling rendah, abang tak sangkal perkara itu. Inilah tempat orang akan anggap kami macam pengemis dan kadang orang tak hirau dan nilai pun bakat sebenar kita.

“Tapi abang reda, orang nak pandang hina ke pandang mulia ke terpulanglah pada mereka. Pada yang memandang tinggi, Alhamdulillah abang ucap terima kasih dan syukur,” katanya lagi.

Roy yang pernah menganggotai kumpulan Lefthanded berkata, beliau bagaimanapun tidak menolak untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk kembali menggegarkan industri seni hiburan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini