comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sambal Biji Getah, Sambal Tahun antara warisan kebangsaan


Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis sambal pastinya menjadi pilihan ramai ketika menikmati juadah tempatan.

Pun begitu, tidak ramai yang tahu terdapat sembilan jenis sambal yang telah diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara.

Walaupun ada antaranya kurang popular, namun keunikan rasa setiap sambal harus diwarisi.

Sembilan jenis sambal yang diisytiharkan itu adalah Sambal Tumis, Sambal Gesek Ikan Bilis, Sambal Goreng, Sambal Tempoyak Daun Kayu, Sambal Rong, Sambal Hitam Ikan Bilis dan tentunya Sambal Belacan.

Dua lagi sambal yang diisytihar adalah Sambal Biji Getah dan Sambal Tahun.

Kesemua sambal ini diisytihar dari tahun 2009 hingga 2018.

Menurut Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital, Azmi Jaffry, walaupun Sambal Biji Getah dan Sambal Tahun tidak begitu popular berbanding sambal lain, ia sebenarnya cukup lazat dan mempunyai rasa yang tersendiri.

“Saya pun sendiri tIdak tahu sebenarnya mengenai sambal ini. Tetapi bila saya bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara, info itu datang dari mereka.

“Jadi barulah saya tahu mengenainya. Cara buatnya pun unik jadi saya replikakan dalam bentuk silikon untuk orang ramai lihat.” katanya kepada Buletin TV3.

Katanya, Sambal Biji Getah merupakan sambal yang semakin sukar untuk ditemui.

“Ia dihasilkan daripada isi biji getah yang merupakan sajian tradisi masyarakat di beberapa daerah di Pahang seperti Jerantut, Raub, Kuala Lipis, Maran dan Kuantan.

“Uniknya sambal ini, dia tidak mempunyai bentuk sambal yang biasa kerana berupa seperti lempeng yang dimasak garing atau nipis tetapi mempunyai rasa yang pedas.

Manakala Sambal Tahun pula terkenal dalam masyarakat Jawa terutama sewaktu sambutan majlis kenduri atau sebagai hidangan pelengkap pada Hari Raya Aidilfitri.

“Ada pandangan yang mengatakan nama Sambal Tahun terhasil kerana sambal ini pada masa dahulu hanya dimasak setahun sekali iaitu sewaktu sambutan Aidilfitri.”

“Istimewanya sambal ini, semakin banyak hari ia dipanaskan, semakin sedap,” tambahnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini