comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sanum, Kasturi pujuk Man Subong, Nik Subong pindah

GUA MUSANG: Dua ekor gajah liar jantan yang ditangkap pada Sabtu dan Ahad lalu kerana mengganggu kebun penduduk, berjaya dipindahkan dalam dua operasi berasingan bermula semalam dan hari ini.

Dua gajah denak iaitu Sanum dan Kasturi dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah digunakan untuk memujuk dua gajah liar terbabit yang diberi nama Man Subong dan Nik Subong.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, operasi pemindahan gajah terbabit dilakukan di dua lokasi berbeza iaitu di Kampung Subong dan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) KESEDAR Sungai Terah.

Katanya kedua gajah liar jantan itu yang berjaya ditangkap dalam tempoh dua hari berturut-turut pada 2 dan 3 Mac lalu dianggarkan berusia 20 tahun.

“Semalam operasi dilakukan di Kampung Subong dan hari ini di RPT KESEDAR Sungai Terah. Alhamdulillah operasi berjalan lancar dan kedua-dua gajah ini akan dilepaskan ke habitat asal mereka.

“Operasi ini membabitkan 20 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Terengganu dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan,” katanya ketika ditemui di RPT KESEDAR Sungai Terah, di sini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang video lama berkaitan haiwan liar di kawasan kebun penduduk.

“Kerana sikap masyarakat yang suka menularkan video-video lama memberi kesan kepada agensi dan penduduk sekitar yang terlibat,” katanya.

Manakala bagi pemilik kebun, Zahari Daud, 52, berkata dia merasa bersyukur kerana akhirnya masalah gangguan gajah liar akhirnya selesai.

Katanya, PERHILITAN bertindak pantas dan berjaya menangkap gajah liar ini sejurus menerima aduan penduduk pada penghujung bulan lalu.

“Alhamdulillah, akhirnya gajah liar ini berjaya ditangkap dan dipindahkan. Terima kasih kepada PERHILITAN atas usaha yang dilakukan, menjejak, menangkap dan memindahkan dua ekor gajah liar ini.

“Kalau ikutkan ini adalah operasi ke tujuh pemindahan gajah dikawasan ini. Apa yang kami harapkan masalah ini dapat diselesaikan untuk jangka masa panjang.

“Setiap kali gajah liar masuk ke kebun kami, akan berlaku kerosakan tanaman yang menyebabkan kerugian kepada penduduk,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini