comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sejarah Sape’ , bukan sekadar alat muzik


Oleh: Aslina Abu Bakar

PUTRAJAYA: Sekilas pandang fungsinya seperti gitar, namun alat muzik Sape’ memiliki kemerduan bunyi tersendiri.

Mungkin ramai juga yang tidak tahu, alat musik tradisional berasal dari Kalimantan Timur itu bukan sahaja digunakan sebagai penghibur malah pernah dimainkan untuk mengiringi upacara spiritual masyarakat suku dayak suatu ketika dahulu.

Tidak dinafikan kemerduan alunan Sape’ sungguh mengasyikkan dan menambat hawa telinga pendengarnya.

Bagi penggiatnya, Leslie Anak Eli, 42, dari Kuching Sarawak, jiwanya terpikat dengan alunan sape’ sejak dia berusia 12 tahun lagi.

“Sape’ ni panggil kita datang, Sape’ ajak kita pulang, Sape’ merehatkan kita, Sape’ menyegarkan kita jadi bagi saya Sape’ adalah kehidupan.

“Bukan sekadar bermain muzik tetapi untuk mengisi ruang hidup saya kerana pada masa dahulu Sape’ ini dimainkan untuk menghiburkan hati apabila kita penat bekerja seharian,” katanya.

Jelasnya, Sape’ biasanya dimainkan bagi mengiringi berbagai persembahan suku Dayak.

Malah satu ketika dahulu alat muzik ini digunakan untuk mengiringi upacara spiritual mengubati pesakit dalam kalangan suku berkenaan.

“Muzik ini asalnya dari Suku Kaum Kenyah, Orang Ulu tetapi walaupun saya berbangsa Iban tetapi saya sangat mencintai warisan ini..

“Saya belajar Sape’ ketika kecil daripada keluarga dan sehingga sekarang saya jadikan Sape’ ini sebagai kerjaya utama saya,”kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Leslie yang berkhidmat di Istana Budaya dibawah Orkestra Tradisional Malaysia berkata Sape’ berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.

Alat muzik ini juga turut dimodenkan, namun masih mengkalkan ciri-ciri sape’ asli tanpa mengubah nilai tradisional yang ada.

Sehingga kini, kemerduan Sape’ telah ‘bergema’ hampir ke seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Korea, China, Thailand dan Afrika.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini