comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sistem trafik perkapalan pantau keselamatan lebih 200 kapal sehari di Selat Melaka

 

Oleh Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Dilalui lebih 80,000 kapal setahun, Selat Melaka kekal antara laluan tersibuk di dunia yang menjadi penghubung strategik perdagangan barat dan timur. Malah, ia juga nadi dalam menjana ekonomi negara.

Bagi menjamin laluan dagangan yang selamat kepada ekosistem maritim, skop keselamatan perairan ini terus diperkukuh menerusi pelbagai pendekatan komprehensif selari dengan perkembangan teknologi.

Dikenali ‘Sistem Trafik Perkapalan’ (VTS), pusat seliaan jabatan laut di Pusat Kawalan Trafik Maritim di Pelabuhan Klang, Selangor menjadi penggerak utama memantau setiap pergerakan kapal di Selat Melaka. 24 kakitangan ditempatkan di sini yang mana setiap mereka dibahagikan kepada tiga syif dalam memastikan keselamatan pelayaran di Perairan Selat Melaka selain membantu memelihara ekosistem marin.

Lebih 200 kapal dari seluruh pelusuk dunia menggunakan laluan yang bermula dari Tanjung Piai, Johor sehingga Pelabuhan Klang, Selangor setiap hari.

Satu per tiga daripada kapal tangki yang membawa muatan minyak mentah turut melalui selat terpanjang di dunia ini yang menjangkau hampir 1,000 kilometer.

Laluan yang sempit selain peningkatan jumlah kapal saban tahun, menjadikan pemantauan keselamatan maritim semakin mencabar dan kompleks.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Trafik dan Bantuan Pelayaran, Mohd Hisham Rubani.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Trafik dan Bantuan Pelayaran, Mohd Hisham Rubani berkata, waktu puncak kapal memasuki perairan ini adalah pada waktu siang.

“Kita memfokus kepada keselamatan perairan kapal jika berlaku ataupun dilaporkan kes-kes penyeludupan ataupun ada kapal yang melapor kapalnya disyaki dinaiki oleh mana-mana unauthorized personel mereka akan melapor dan kita akan salurkan maklumat tu kepada pihak berkuasa.”

Dalam hal ini, VTS bekerjasama erat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Dengan menggunakan sistem kawalan radar yang canggih, pegawai trafik bertanggungjawab mengeluarkan arahan dengan kadar segera terutamanya ketika berlaku kecemasan.

Ini kerana ratusan nyawa pelayar bergantung kepada kebijaksanaan mereka mengendalikan sebarang situasi genting.

“Kita memberi nasihat ataupun advice bila kita buat analisa risiko marin contohnya ada dua buah kapal yang ada possibility atau kebarangkalian untuk berlanggar so kita bagi nasihat awal.”

Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Trafik dan Bantuan Pelayaran, TS Muhammad Fadhli Makhtar pula memaklumkan, selain kekangan dari segi masalah bahasa membabitkan pelayar china, pengalaman berdepan insiden mencemaskan turut menjadi cabaran kepada kakitangan bertugas.

“Seorang anak kapal cedera dan hampir putus tangan tersebut dan kita dapat menyelamatkannya dan alhamdulillah keadaan anak kapal tersebut dapat diselamatkan dan selamat sehingga sekarang dan salah satu cabarannya adalah yang tidak dapat saya lupakan adalah keadaan trafik kapal yang sangat sibuk pada ketika itu di mana setiap kapal ingin melalui Selat Melaka.”

Semangat berpasukan yang jitu serta kepekaan pegawai bertugas penting adalah dalam menyalurkan maklumat tepat bagi menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Sejak diitubuhkan pada Disember 1998, VTS mendapat beberapa pengiktirafan dunia sehingga dicalonkan sebagai ahli konsul dalam kategori C di bawah badan maritim sedunia selama sembilan penggal berturut-turut.

VTS turut dibantu kapal penyelenggaraan alat bantuan pelayaran pelbagai fungsi, MV Polaris, milik Jabatan Laut bagi meningkatkan jaminan keselamatan serta khidmat bantuan kecemasan kepada pelayar.

Selain tugas penyelenggaraan biasa, sistem melawan api yang dipasang pada kapal termoden ini membolehkannya memberi bantuan apabila berdepan sebarang insiden kebakaran kapal di laut.

Kapal menelan kos RM92 juta ini juga mampu berada di laut selama 35 hari tanpa ulang bekal.

Loading...
Terkini