comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Stok air sudah tiada, terpaksa mandi di sungai walaupun ada buaya – Penduduk 

PAPAR: Krisis bekalan air di sini sejak beberapa minggu lalu semakin meruncing sehingga ada penduduk mengambil risiko sendiri dengan mandi di sungai walaupun berdepan bahaya diserang buaya.

Seorang penduduk di Kampung Kuala Dalam, Muhammad Shukri Abd Gani, 33 memaklumkan keluarganya mengalami masalah bekalan air sehingga menyebabkan kesukaran untuk mandi.

Katanya masalah bekalan air yang sudah berlarutan hampir sebulan itu menyukarkan mereka terutama bagi keluarga besar sepertinya dengan 13 orang ahli keluarga di rumah.

“Kalau waktu Subuh, kadang-kala ada air, kadang kala langsung tiada air. Lori yang menghantar bantuan air pernah masuk sekali saja (sebelum hari ini), itupun dapat satu tangki biru sahaja,” katanya.

Menurutnya, dua hari lepas semasa rumahnya tidak mempunyai air waktu Subuh, ibunya dan seorang anak saudaranya terpaksa mandi di sungai belakang rumahnya.

“Waktu ini (dua hari lepas) Subuh langsung tiada air. Stok air pun memang sudah tiada. Sebab itulah terpaksa mandi di sungai walaupun ada buaya di sana,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Kuala, Adinin Awang Damit, 63, seorang pesara ketika ditemui berkata sudah tiga minggu rumahnya tidak mempunyai bekalan air walaupun telah dipasang pam air.

Menurutnya, disebabkan itu beliau terpaksa mencari air di sekitar pekan Papar dan kadang-kala terpaksa mengambil air di rumah ahli keluarganya di kampung lain yang mempunyai bekalan air pada waktu malam.

“Saya ada tujuh orang ahli keluarga dirumah termasuk cucu. Air yang ada tidak cukup (untuk keperluan seharian) walaupun ada tangki. Kalau untuk minum, dua air karon hanya cukup untuk dua hari sahaja.

“Selain itu, kadang-kala kami terpaksa mandi sekali untuk sehari sahaja. Cuma kanak-kanak dalam rumah mereka mandi dua kali sehari itupun kami terpaksa berjimat air. Kadang-kala kami terpaksa ambil air laut di Pantai Manis (untuk bekalan air),” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Kuala, Rahmah Bandul, 29, seorang suri rumah berkata walaupun bukan kali pertama berdepan masalah air namun tahun ini beliau menyifatkan masalah bekalan air amat kritikal.

Jelasnya sebelum ini beliau masih boleh menyimpan air pada waktu malam namun lima sehingga enam hari lepas, bekalan air langsung tidak ada di rumahnya.

“Saya terpaksa beli air dua karton dan mengisi dua tong gelen air setiap hari dari mesin air di pekan. Satu tong geleng perlu membayar antara 80 sen hingga RM1.

“Kadang-kadang ada lori yang menghantar air. Hari ini saya mengambil air di masjid,” katanya.

Susulan krisis bekalan air kritikal dihadapi sejak beberapa minggu lalu, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) mengisytiharkan Papar sebagai daerah dilanda bencana kemarau, semalam.

Pegawai Daerah Papar merangkap Pengerusi JPBD, Mohd Fuad Abdullah melalui satu notis kenyataan yang tular memaklumkan pihaknya sebulat suara mengumumkan perkara itu dengan pengisytiharan terbabit dilakukan pada jam 10:30 pagi.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya dilapor berkata, gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar sini berpunca Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau yang tidak dapat beroperasi.

Beliau berkata, ia disebabkan tahap kemasinan air sungai terlalu tinggi dan tidak dapat diproses selain faktor keadaan kemarau yang berpanjangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini