comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sultan Kelantan rakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, panjangkan landasan LTSIP

Keberangkatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istiadat Perbarisan sempena Hari Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Yang Ke-55 di Padang Merdeka hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang mahu memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa daripada 2.4 kilometer (km) kepada 2.8 km.

Baginda berkata, langkah itu adalah satu usaha dalam menjadikan LTSIP sebagai sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

“Selain itu ia meningkatkan infrastruktur pengangkutan negara kita.

“Pada masa sama, jaringan pengangkutan darat turut memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Sukacita beta menyeru agar projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) dapat dipercepatkan pelaksanaannya,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Baginda turut berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh insentif pengecualian cukai di Kelantan selama 15 tahun lagi.

Titah baginda, penambahan tempoh insentif berkenaan akan memberikan ruang yang lebih luas untuk pelaburan baharu memanfaatkan inisiatif pembangunan yang sedang berlangsung.

“Pada masa sama ia memastikan kejayaan serta kelestarian projek peojek berkenaan dalam jangka masa panjang,” titah baginda.

Sultan Kelantan turut berharap kerajaan negeri dan Persekutuan dapat berusaha meningkatkan peluang penerokaan tenaga.

“Ia seperti hidrogen, pembangunan unsur nadir bumi dan tenaga solar yang mampu menjana sumber ekonomi baharu di negeri ini.

“Sebagaimana tahun sebelum ini, beta ingin menarik perhatian seluruh rakyat Kelantan agar sentiasa berwaspada dan bersiap siaga menghadapi musim tengkujuh yang bakal melanda.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, risiko berlakunya banjir di kawasan tertentu adalah tinggi.

“Beta menyeru agar semua rakyat peka dan sentiasa mengikuti perkembangan dan amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa agar persiapan awal dapat dibuat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” titah baginda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini