comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tak sampai sejam bayar denda RM8,000; 2 along ditahan semula

Sin Zhi Beng (baju jingga) dan Yu Bar Tsuey ditahan semula selepas kedua-duanya dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat di Batu Pahat hari ini. – FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Tidak sampai sejam selepas Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda kerana cuba membaling molotov cocktail ke atas sebuah rumah, dua along ditahan semula bagi menghadapi pertuduhan sama di Ampang, Selangor.

Tertuduh, Sin Zhi Beng, 39, dan Yu Bar Tsuey, 30, masing-masing didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Sebelum itu, Zhi Beng pekerja kasino di Genting Highlands manakala Bar Tsuey, tidak mempunyai pekerjaan tetap, dituduh cuba membaling dua botol molotov cocktail ke atas rumah milik seorang lelaki berusia 33 tahun di Jalan Indah, Ayer Hitam, di sini, 3.20 pagi, 7 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 serta Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen 426 memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 511 penjara tidak melebihi dua tahun setengah daripada tempoh terpanjang yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Bagaimanapun selepas ahli keluarga kedua-dua tertuduh membayar denda itu, mereka ditahan semula oleh anggota polis yang menunggu di luar mahkamah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk direman dan turut dijangka didakwa.

Berdasarkan fakta kes, pekerja di pos keselamatan ternampak kelibat tertuduh dalam keadaan mencurigakan di kawasan taman perumahan terbabit.

Tertuduh berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui dua botol molotov cocktail digunakan untuk dibaling ke atas rumah milik seorang peminjam.

Ketika ditahan, berlaku pergelutan antara tertuduh menyebabkan tangan kiri Zhi Beng cedera.

Orang awam yang cuba menahan kedua-dua tertuduh turut cedera.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid sementara kedua-dua tertuduh diwakili Tan Song Yan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan kedua-dua tertuduh kerana membabitkan api serta kerosakan yang bakal ditanggung mangsa.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 setiap seorang selain mengarahkan mereka dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini