Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Mula menenun sejak usia sembilan tahun lagi, ternyata usaha gigih Bangie Anak Embol tidak sia-sia apabila dinobat Tokoh Kraf Negara 2024.
Uniknya wanita berusia 79 tahun kelahiran Ulu Sungai Kain, Kapit, Sarawak itu mendapat jolokan si penenun mimpi.
Lebih mesra disapa ‘Indai’, beliau merupakan generasi kelima dalam keluarga yang meneruskan perusahaan tenunan Pua.
Menariknya walaupun bermula dari awal usia, pada ketika itu, kualiti tenunannya setara dengan penenun yang lebih berusia dan berpengalaman.
“Macam Indai kerja dia memang membuat pua kumbu. Bangun pagi jam 4, selepas sarapan memang akan buat pua kumbu. Dia cuma rehat masa tidur malam sahaja. Memang itu rutin hariannya, lebih-lebih lagi jika ada permintaan dari luar,” kata anaknya Rosnah Abdullah.
Menceritakan mengenai gelaran penenun mimpi, katanya ia adalah disebabkan setiap hasil tenunan yang dihasilkan berilhamkan mimpi dan imaginasi yang kemudian diterjemah menjadi hasil tenunan.
Kini walaupun sudah tujuh dekad menenun, cinta Indai terhadap seni kraf tenunan pua tidak pernah pudar sehingga kini.
“Indai dia memang sayangkan sangat pua kumbu ini. Sebab pua kumbu ini dari zaman nenek moyang lagi, memang mereka nak kami buat pua kumbu.
“Walaupun ada pekerjaan lain, jangan sesekali lupakan tradisi nenek moyang kita dulu dulu. Ini yang mak saya terapkan dan ini dia usaha untuk terapkan kepada anak dan cucu dia.
Keazaman dan semangat beliau juga melayakkannya menjadi individu pilihan sebagai pewaris ‘Ngar’ iaitu upacara memuja benang.
Ketika berusia 40 tahun, Indai sendiri mengetuai upacara ‘Ngar’ dan menjadi penenun mimpi termuda dalam sejarah masyarakat Iban di Sarawak.
Indai juga memiliki kedudukan tertinggi dalam status sosial penenun pua dengan gelaran ‘Indu Tau Nakar Tau Ngar’ (wanita yang mahir dalam proses pewarnaan asli).
Baru-baru ini, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Kraf Negara 2024, selain turut mendapat Anugerah Karyawan Seni Kraf.
Kejayaannya itu nyata membuatkan Indai lebih bersemangat untuk lebih memartabatkan seni kraf tenunan pua.
“Anugerah yang diterima Indai adalah satu kebanggaan untuk dia, satu semangat untuk dia untuk mengajar orang dan kembangkan lagi tenunan ini untuk semua orang tidak kira bangsa dan agama.
“Apa yang buat saya sayang kepada pua kumbu ini adalah kerana saya tidak mahu hilangkan keturunan daripada atuk nenek sejak dahulu kala. Selepas itu saya mahu menaikkan martabat kami kaum Iban supaya boleh membuat bisnes untuk menampung perbelanjaan atau kehidupan seharian,” kata Indai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.