Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Negeri Sarawak bukan sahaja terkenal dengan kepelbagaian etnik dan kaumnya, malah produk kraftangannya juga yang unik dan menarik selain kehalusan seni buatannya membuatkan produk itu dikagumi pelancong dari seluruh dunia.
Satu daripada produk tradisi buatan masyarakat Sarawak adalah kain tenunan pua yang merupakan hasil kerja tangan paling terkenal dalam kalangan masyarakat Iban.
Kata, Rosnah Abdullah yang merupakan anak kepada Tokoh Kraf Negara 2024, Bangie Anak Embol, antara motif yang sering digunakan – Bungai Nuing, Buah Gelanggang Langit, Bunga Rang Jugah, Bunga Buah Sepuyong, Bunga Bali Malikut.
Dia yang juga menenun memberitahu, tempoh untuk menyiapkannya pula bergantung kepada kepakaran seseorang itu dan boleh mengambil sehingga setahun untuk disiapkan.
“Dari segi warna, ia menggunakan warna semula jadi yang diekstrak dari bahan-bahan semula jadi dan turut akan dicampur dengan kapur dan garam.
“Selalunya kita gunakan akar mengkudu. Kalau warna biru, kita gunakan daun tarung tapi sekarang banyak lagi yang boleh dijadikan warna sebab kita dah belajar bagaimana nak cipta warna dari pelbagai bahan lain.”
Namun di sebalik keindahan kain warisan ini, dikatakan terdapat banyak pantang larang dikaitkan dengan pembuatannya.
“Memang ada pantang larangnya. Kalau jenis yang kita nak buat pua kumbu yang bermotifkan manusia, binatang, ada pantang larangnya. Tapi kalau yang moden sekarang, tiadalah,” katanya.
Malah, menurut kepercayaan mereka, tenunan ini hanya boleh dihasilkan oleh wanita yang mendapat arahan melalui mimpi.
Mereka percaya ia memiliki kuasa spiritual yang tersendiri dan mempunyai hubungan dengan kuasa ghaib.
Bagi wanita Iban, jika mempunyai kebolehan menenun pua kumbu, mereka selayaknya ada dalam kalangan kelompok hierarki tertentu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.