comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Terpedaya dengan kawan, lelaki OKU jadi mangsa pemerdagangan manusia

Ibu dan abang kepada mangsa Job Scam, Nur Aniyah Mat Ramin dan Abdul Rahim Miskan menunjukkan laporan polis yang telah dibuat ketika sidang media bersama Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO). FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Akibat terpedaya dengan kawan dan upah RM10,000 untuk bekerja sebagai jurubina selama seminggu di Thailand, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Tidak cukup setakat itu, dia kemudian dilarikan ke Myanmar dan dijadikan tebusan.

Mangsa berusia 28 tahun itu dipaksa membayar USD8,000 (RM39,000) kepada sindiket sekiranya ingin dibebaskan dan pulang ke Malaysia.

Selain itu, mangsa yang dipaksa bekerja sebagai ejen scammer itu turut dipukul dan dipaksa makan daging khinzir.

Perkara itu didedahkan ibu dan abang ipar mangsa ketika ditemui pada satu sidang media bersama Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Cabang Keadilan Segambut, Deric Teh dan Pegawai Perhubungan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Ibu mangsa, Nur Aniyah Mat Ramin tidak dapat menahan sedih mengenangkan nasib anaknya yang kini menjadi tebusan di Myanmar.

Ibu mangsa, Nur Aniyah Matramin, 54 berkata anaknya menjadi terpengaruh selepas kawan baiknya sendiri yang memperkenalkan pekerjaan itu kepadanya.

Dan meskipun sudah dinasihati oleh ahli keluarga dan majikan lamanya, anaknya itu masih enggan mendengar dan meneruskan niatnya untuk bekerja di Thailand.

“Sebelum ini anak saya pernah dibantu oleh kawan baiknya itu, itu sebabnya anak percaya kepada tawaran yang diperkenalkan kawan dia.”

Menurut Nur Aniyah, sebelum ini anaknya itu bekerja di sebuah pusat cuci kereta dan mahu bekerja di Thailand untuk mencari duit raya.

’10 Mac lalu, sebelum anak berlepas ke Thailand, saya masih boleh hubungi dia. Tapi selepas itu memang tak dapat dihubungi dah.”

Bagaimanapun, peniaga berasal Kampung Baru itu berkata baru-baru itu, anaknya itu menghubungi beliau menggunakan telefon rakannya dan menceritakan hal sebenar yang berlaku.

“Saya dan ahli keluarga memohon bantuan pihak MHO dan kerajaan untuk bantu bawa kembali anak saya dengan selamat.”

Sementara itu, Daniel berkata pihaknya akan berganding bahu dengan kerajaan dan berusaha sedaya upaya untuk membawa kembali mangsa pulang ke tanah air.

“Kita akan usaha sedaya upaya dan secepat mungkin untuk bawa dia kembali. Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Luar.”

Pada masa sama, Daniel turut meminta golongan muda supaya mendengar nasihat ibu bapa dan keluarga selain tidak mudah percaya kepada kawan sendiri.

Tambah Daniel, jangan mudah percaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan pulangan lumayan untuk kerja yang mudah atau singkat terutama di luar negara.

Untuk kepastian, minta syarikat berkenaan sediakan permit kerja di negara terbabit terlebih dahulu sebab ketika ini banyak isu tentang permit palsu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini