comscore
Tumpuan :
Nasional

Video tular orang awam lepas tembakan sebenarnya operasi tembak gagak

Orang ramai yang menyertai operasi menembak gagak anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ). FOTO: MBSJ / Facebook

SUBANG: Rakaman video tular mengenai individu melepaskan tembakan di kawasan awam di sini, sebenarnya adalah operasi menembak gagak kendalian Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, notis pemakluman berhubung operasi yang diadakan pada Sabtu lalu, sudah dikeluarkan sebelum itu.

“Operasi mendapat kelulusan pihak Unit Pelesenan Senjata Api, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Ia disertai oleh 25 peserta terdiri daripada orang awam yang memiliki lesen senjata api sah.

“Pihak penganjur juga mengambil langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, tular satu rakaman video mengenai kejadian itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Wan Azlan berkata, operasi yang diadakan bagi mengawal populasi gagak itu berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video berkenaan atau membuat spekulasi sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222/7100 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini