comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ujian esok tentukan operasi semula LRT laluan Kelana Jaya

SUBANG : Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya boleh kembali beroperasi lebih awal daripada jangkaan bergantung kepada ujian yang dijalankan selama sehari esok, selepas modem dan bekalan kuasa untuk trek digantikan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, hasil ujian akan dinilai oleh pasukan pakar daripada pihak pengilang yang datang dari luar negara seterusnya diaudit oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang bertanggungjawab memeriksa aspek keselamatan.

“Tren akan diuji sepanjang hari tanpa penumpang. Kemudian pada waktu yang sama MOT melalui agensinya (APAD) dengan pasukan khas melakukan pemeriksaan keselamatan penggunaan tren LRT berdasarkan pengisytiharan pihak pakar.

“Kalau pakar mengatakan ia selamat dan stabil untuk digunakan tanpa syak wasangka, maka perkhidmatan akan kembali beroperasi,” katanya ketika sidang media selepas sesi taklimat perkembangan semasa penambahbaikan LRT Laluan Kelana Jaya.

Beliau memaklumkan ujian terhadap sistem kawalan tren beberapa hari ini menunjukkan perkembangan positif.

Sekiranya semua tren LRT laluan berkenaan disahkan stabil dan selamat untuk kembali beroperasi, pihak Prasana bakal membuat pengumuman pada pukul 6 petang bagi memudahkan pengguna mendapatkan informasi awal dan membuat persediaan.

Menurut Ka Siong berkata, gangguan kegagalan Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang berlaku baru-baru ini melibatkan masalah pusat kawalan kenderaan dan signal (isyarat).

Jelas beliau, lebih membimbangkan jika tren dibiarkan bergerak tanpa isyarat pada skrin di pusat kawalan boleh mengakibatkan kemalangan.

Justeru itu katanya Prasarana membuat keputusan menghentikan sementara perkhidmatan meskipun ia disifatkan oleh segelintir pihak sebagai tindakan yang tidak popular.

“Kita terpaksa menghentikan operasi kerana tidak nampak kedudukan di mana lokasi semasa tren LRT pada Pusat Kawalan Kenderaan (VCC). Justeru, pemeriksaan rapi perlu dibuat.

“Keadaan ini mengundang risiko kemalangan apabila ia hilang daripada radar pemerhatian VCC. Ini keputusan yang besar terpaksa diambil kerana melibatkan nyawa,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama beliau berkata, pihak Prasarana telah melantik pihak perunding khas berkenaan tindakan selanjutnya sekiranya wujud elemen sabotaj yang mengakibatkan gangguan berlaku.

“Pihak perunding ini akan melihat semua aspek termasuk elemen sabotaj jika ada, sementara kita selesaikan masalah yang ada (tambah baik sistem tren). Tapi setakat ini hanya ada dua masalah yang dikenal pasti,”kata Wee lagi.

Prasarana juga katanya telah bersetuju untuk memberikan pampasan kepada pengguna LRT yang terjejas sepanjang penggantungan sementara operasi LRT Kelana Jaya.

“Bagi yang menggunakan pas, Prasarana bersetuju lanjutkan tempoh kad sebab rugilah bagi yang tidak guna selama seminggukan. Bagi pengguna lain (kad harian) Prasarana akan umum lebih lanjut kemudian,” tambah beliau.

Rapid KL baru-baru ini menggantung operasi perkhidmatan LRT di 16 stesen bermula Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park mulai 9 November sehingga 15 November ini berikutan masalah sistem ATC.

Loading...
Terkini