comscore
Tumpuan :
Nasional

Vigneswaran kekal Presiden MIC untuk penggal ketiga berturut-turut

FOTO: MIC / Facebook

KUALA LUMPUR: Tan Sri S A Vigneswaran mempertahankan jawatan Presiden MIC untuk penggal ketiga apabila menang tanpa bertanding sebaik tempoh pencalonan bagi pemilihan kepimpinan baru parti itu ditutup jam 12 tengah hari tadi.

Keputusan itu seiring resolusi dipersetujui perwakilan parti berkenaan ketika Perhimpunan Agung MIC ke-77 November tahun lalu, yang memutuskan menghalang sebarang pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.

Pemilihan Vigneswaran untuk kekal dengan jawatan disandangnya ketika ini diumumkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan di ibu pejabat parti itu hari ini.

“Tahniah diucapkan kepada Tan Sri SA Vigneswaran yang mengekalkan jawatannya sebagai Presiden MIC bagi penggal 2024 hingga 2026,” menurut kiriman di Facebook MIC hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Saravanan menyifatkan pemilihan semula Vigneswaran menerajui MIC, bukti penyatuan kepimpinan dalam parti itu.

“Tan Sri mengekalkan jawatan Presiden MIC untuk penggal ketiga berturut-turut selepas pencalonan presiden parti ditutup di ibu pejabat parti pada tengah hari ini. MIC kini lebih bersatu berbanding sebelum ini dan terus melihat ke hadapan.

“Selain memperjuangkan nasib masyarakat, MIC adalah satu-satunya parti berasaskan India di negara ini yang meletakkan komitmen tinggi terhadap kebajikan dan pendidikan masyarakat India,” katanya di Facebook.

Datuk Seri Saravanan sebelum ini turut mengumumkan tidak akan bertanding bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan kali ini.

MIC akan mengadakan pemilihan jawatan presiden bagi penggal 2024 hingga 2027 pada 12 April ini, dengan hari pencalonan ditetapkan dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari tadi di tingkat lima ibu pejabat parti itu di sini.

Loading...
Terkini