comscore
Tumpuan :
Nasional

Visa Furada palsu: Hajar Sazrul Travel & Tours diarah bayar lebih RM600,000 kepada 25 mangsa

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SHAH ALAM: Syarikat agensi umrah dan haji tempatan, Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd diarah membayar RM634,400 kepada 25 jemaah di bawah kendalian syarikat itu yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi berhubung visa Furada palsu, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching turut memerintahkan syarikat terbabit membayar faedah pada kadar lima peratus atas jumlah berkenaan yang dikira dari tarikh kemungkiran pada 5 Ogos 2019.

Hakim membuat keputusan tersebut selepas mendapati plaintif berjaya membuktikan kes berkenaan terhadap defendan pertama sahaja iaitu Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd.

Plaintif memfailkan saman itu pada Ogos 2020 menuntut baki pemulangan bayaran pakej haji sebanyak RM634,400, ganti rugi khas dan beberapa ganti rugi lain ke atas enam defendan termasuk syarikat tersebut.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Zoom hari ini, hakim turut mengarah defendan membayar kos RM75,000 kepada plaintif-plaintif dan menolak tuntutan balas defendan-defendan sebanyak RM479,350.

Pada 5 Ogos 2019, negara dikejutkan dengan berita lebih 20 jemaah haji Malaysia yang menggunakan visa Furada di bawah kelolaan sebuah agensi syarikat pelancongan telah terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah kerana menggunakan e-visa palsu.

Mangsa tidak dibenarkan memasuki Mekah dan diarah pulang ke tanah air.

Foto hiasan

Sementara itu, ketua yang mewakili jemaah terbabit, Muhammad Radhi Shariff Hussain berkata, mereka lega dan bersyukur dengan keputusan tersebut dan berharap pihak pengurusan Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd dapat menguruskan bayaran penghakiman.

Jelasnya, ini memandangkan ada dalam kalangan plaintif adalah warga emas, tidak lagi bekerja dan berpendapatan rendah serta mereka hanya menuntut hak mereka berikutan kemungkiran kontrak di pihak syarikat.

Semua plaintif diwakili peguam, Khairun Niza Husnin manakala peguam, Nur Diana Mat Radzai mewakili defendan Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini