comscore
Tumpuan :
Nasional

Wakil industri Jerman menganggotai Majlis TVET Negara – Zahid

 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

BANGI: Wakil pemain industri daripada Jerman menjadi negara asing pertama dijemput menganggotai Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keanggotaan wakil itu bagi berkongsi ilmu dan teknologi baharu dalam memperkasa bidang TVET Malaysia.

“Ketika di Berlin (Jerman) saya telah menjemput Dewan Perniagaan Jerman di Malaysia menghantar wakil di dalam MTVET Negara. Duta Jerman ke Malaysia akan berbincang dengan mereka dan salah seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada syarikat Jerman itu akan dinamakan untuk duduk dalam Majlis TVET Negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Penasihat Industri (IAC) di Institut German-Malaysia (GMI), di sini hari ini.

Ketika lawatan ke Berlin pada Oktober tahun lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara dilapor berkata, Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DHIK) akan berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi membentuk kerjasama dengan Majlis TVET Negara.

Jelasnya, kerjasama tersebut dapat membantu tindakan untuk disesuaikan dengan program TVET Malaysia.

Mengulas lanjut, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memaklumkan, beliau akan menjemput pemain industri lain daripada beberapa negara yang mempunyai institusi TVET di negara ini untuk menganggotai Majlis TVET Negara.

“Ini untuk mewujudkan keterangkuman supaya mereka bukan saja berkongsi ilmu dan teknologi baharu dengan kita tetapi dalam waktu yang sama, syarikat-syarikat mereka yang berada di Malaysia boleh menandatangani perjanjian untuk mengambil lepasan TVET bekerja dengan syarikat mereka dengan gaji premium,” katanya.

Ujarnya, sebanyak 238 perjanjian kerjasama telah ditandatangani dengan pemain industri bersama kementerian berkaitan TVET, di samping lebih 10,000 perjanjian ditandatangani di antara Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun lalu.

“Ertinya lebih daripada 10,200 syarikat telah menjalin hubungan untuk melaksanakan TVET dan juga mengambil pekerja lepasan TVET untuk menjadi tenaga kerja di syarikat yang berkenaan,” katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyaksikan acara pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara GMI, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan GIATMARA dengan rakan industri sebagai tanda komitmen mereka kepada usaha kolaboratif dalam memajukan sektor TVET.

Sehingga kini, sebanyak 1,345 institusi TVET di bawah 12 kementerian dengan sejumlah 669 institusi awam, 652 institusi swasta manakala 24 institusi di bawah Kerajaan Negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini