comscore
Tumpuan :
Nasional

Wan Junaidi Bidas Majlis Peguam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membidas persepsi negatif cuba ditimbulkan Majlis Peguam berhubung kesaksamaan dan keupayaan Pasukan Petugas Khas (PPK) melaksanakan tanggungjawab secara tidak berpihak bagi siasatan dakwaan buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, kenyataan dibuat Yang Dipertua Majlis Peguam, Karen Cheah, mempersoalkan kesaksamaan dan keupayaan PPK terhadap siasatan dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tommy itu sesuatu yang tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

Katanya, dapatan dalam laporan PPK yang ditubuhkan melalui persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember 2021 sudah melaksanakan analisis mendalam terhadap setiap pemerhatian, dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 30 September lalu berpandukan kepada 19 sesi konsultasi diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Wan Junaidi berkata, PPK menjalankan tanggungjawab hampir lapan bulan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak, malah pasukan itu turut memanggil wakil Majlis Peguam memberikan pandangan terhadap isu berbangkit dalam buku tulisan Tommy, tetapi mereka enggan mengambil bahagian.

“PPK juga meneliti pelbagai maklumat dan dokumen dibekalkan agensi kerajaan berkaitan. Bagi memastikan setiap pandangan diambil kira, PPK mengambil inisiatif menjemput wakil Majlis Peguam memberikan pandangan tetapi mereka enggan terbabit dalam sesi konsultasi dengan PPK,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Wan Junaidi berkata, persepsi negatif cuba ditimbulkan Majlis Peguam berhubung keupayaan PPK melaksanakan tanggungjawab secara tidak berpihak disifatkan tidak berasas kerana PPK pernah memberikan peluang dan menjemput Majlis Peguam memberikan pandangan berhubung isu berbangkit dalam buku itu.

Beliau berkata, metodologi, perkara diteliti dan pihak terbabit dalam sesi konsultasi serta pihak yang enggan memberikan kerjasama disenaraikan dalam laporan dan ini menjadi contoh bagaimana PPK sudah melaksanakan tanggungjawab secara terbuka serta tidak berpihak.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, PPK juga mengemukakan senarai cadangan penambahbaikan yang memberikan manfaat kepada peningkatan mutu sistem keadilan dan kehakiman di Malaysia untuk diteliti semua pihak berkaitan.

BH sebelum ini melaporkan, Penasihat Undang-Undang Sarawak dan bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung mempengerusikan PPK Siasatan atas dakwaan dalam buku My Story: Justice in the Wilderness itu.

Wan Junaidi dilaporkan berkata, keahlian PPK itu membabitkan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan dan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin.

Ia juga dianggotai bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jagjit Singh; serta peguam Datuk Shaharudin Ali dan K Balaguru.

Mereka turut disertai wakil kementerian/jabatan yang berkepentingan seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pula bertindak sebagai urus setia bagi jawatankuasa berkenaan.

Pada 29 Ogos lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, siasatan PPK itu mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini