comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wan Rosdy selesai angkat sumpah MB Pahang

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mengurniakan surat cara pelantikan jawatan Menteri Besar.

Oleh Fazli Ahmad

PEKAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 di Istana Abu Bakar di sini, sebentar tadi.

Datuk Seri Wan Rosdy, 64, diberi mandat sekali lagi selaku Menteri Besar untuk menerajui pentadbiran negeri Pahang.

Istiadat mengangkat sumpah berlangsung dihadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri sejurus baginda berkenan mengurniakan surat cara pelantikan jawatan Menteri Besar.

Wan Rosdy menjawat jawatan Menteri Besar Pahang sejak 15 Mei 2018 selepas Pilihan Raya ke-14 (PRU-14).

Pemangku Raja Pahang memberi kepercayaan melantik beliau menerajui Pahang, selepas baginda berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat kepimpinan parti-parti politik berkaitan susulan keputusan PRU-15.

Pelantikan itu mengakhiri kemelut politik di Pahang sejak 19 November hari lalu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung buat kali pertama kerana tiada parti politik memperoleh majoriti mudah.

Wan Rosdy mengekalkan kerusi DUN Jelai yang disandangnya sejak 2004 dengan majoriti 6,983 undi 19 November lalu.

Perlantikan jawatan Menteri Besar dibuat berdasarkan kuasa diperuntukkan kepada raja pemerintah seperti dinyatakan dalam bahagian dua, perkara 3 (1) undang-undang tubuh Kerajaan Pahang.

Loading...
Terkini