comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wang gaji lesap selepas tekan ‘link’

Foto Hiasan

SUNGAI SIPUT: Penjawat awam kerugian lebih RM3,000 wang gajinya selepas diperdaya untuk menekan pautan (link) seterusnya memuat turun aplikasi yang kononya berkaitan laman penstriman video yang ingin dilanggannya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dalam kejadian 25 Mac lalu, mangsa pada mulanya ingin membeli aplikasi yang diiklankan di Facebook (FB) dengan harga murah.

Katanya, mangsa kemudiannya berinteraksi dengan pentadbir laman FB sebelum diminta memuat turun sebuah aplikasi melalui sebuah pautan yang diberikan.

“Mangsa kemudian menyedari wang gajinya itu lesap pada hari yang sama selepas memeriksa baki akaun banknya sebelum kemudiannya membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Sungai Siput,” katanya sewaktu ditemui pemberita ketika memgedarkan sebahagian daripada kira-kira 1,000 bubur lambuk dalam Program Semarak Kasih Ramadhan 2023 di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini, semalam.

Katanya lagi, siasatan kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Terdahulu, penjawat awam berkenaan didapati menulis ciapan balas di laman Twitter sebagai membalas ciapan pentadbir laman Twitter pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew (@Ebitlew_) dengan mendakwa beliau ditipu wang gajinya.

Menerusi ciapan balas itu, mangsa mendakwa beliau merupakan seorang anggota pasukan beruniform dan ditipu hingga wang gajinya hanya tinggal RM17, justeru meminta supaya pendakwah itu membantunya untuk membeli makanan kepada anak dan isterinya.

Loading...
Terkini