Tumpuan :
Nasional

Wanita 4 anak direman, tinggalkan bayi di kedai makan

Bayi perempuan yang ditemui di sebuah kedai makan di Sanglang, dekat Kangar pada 19 Januari lalu. -FOTO: PDRM Kangar

KANGAR: Seorang wanita direman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan susulan penemuan bayi perempuan di sebuah kedai makan di Sanglang, pada 19 Januari lalu.

Suspek berusia 29 tahun ditahan jam 2.55 pagi semalam di sebuah rumah di Simpang Empat, di sini berdasarkan maklumat diperoleh polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, wanita itu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil manakala suaminya dalam tahanan di sebuah Pusat Tahanan Serenti.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sekeping kad SIM telefon, gunting, cadar serta sampel uri yang sudah pun dibakar oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati wanita berkenaan mengaku terbabit dengan kejadian itu.

“Menurut suspek, dia melahirkan seorang bayi perempuan tanpa ditemani atau bantuan sesiapa dalam tandas sebuah rumah di Jalan Tok Pulau, Kampung Permatang Kersek di Simpang Empat pada 18 Januari sekitar jam 6.30 petang.

“Kira-kira 10 jam kemudian, suspek pergi ke sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning milik rakannya dan meninggalkan bayi yang baharu dilahirkannya di premis berkenaan,” katanya.

Yusharifuddin berkata, bayi dalam keadaan sihat serta masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini