Tumpuan :
Nasional

Wanita dikhuatiri lemas dihanyutkan arus di Sungai Air Beruk

FOTO: JBPM Gerik

GERIK: Seorang wanita dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus deras ketika beriadah bersama empat ahli keluarganya di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Stang, Kampung Kerunai, di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu berlaku ketika keluarga terbabit bermandi-manda dan melakukan aktiviti dalam air menggunakan pelampung sebelum mangsa, Nur Arina Azizan, 20, terpisah dibawa arus.

Ibu mangsa berusia 48 tahun yang cuba membantu anaknya itu turut dihanyutkan arus, namun dapat diselamatkan oleh penduduk kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd Azizan Aziz berkata, sebuah pasukan diatur gerak ke lokasi sebaik saja maklumat berhubung insiden itu diterima pada jam 3.11 petang.

“Seorang daripada mangsa terbabit, iaitu si ibu, berjaya diselamatkan orang awam dan dibawa naik ke tebing sebelum ketibaan pihak bomba.

“Seorang lagi mangsa yang juga anak perempuan kepada wanita itu pula terus dihanyutkan arus deras dan dikhuatiri lemas,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancar membabitkan pencarian di permukaan sekitar titik lokasi mangsa dikhuatiri lemas, selain penyelaman secara ‘skin-dive’.

“Turut terbabit dalam operasi SAR itu ialah pasukan kayak dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Kerunai yang menggunakan sembilan kayak bagi melaksanakan pencarian dengan menyusuri sungai, di samping bantuan lain-lain agensi.

“Pasukan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) juga diaktifkan untuk ke tempat kejadian, manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sudah berada di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, operasi ditangguhkan pada jam 7 malam tetapi beberapa anggota ditempatkan di Pos Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka. Operasi SAR dijadualkan bersambung semula pada jam 8 pagi esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini