Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan susulan penemuan seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 November ini.
Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menerima makluman orang awam sekitar 6.13 petang mengenai penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan pintu masuk pasar raya itu.
Siasatan awal oleh pihak polis di tempat kejadian mendapati lelaki berusia 64 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring tanpa kesan kecederaan di tubuh badan mangsa.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.