comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita hamil redah banjir 2 km risau anak terperangkap

Norliza Fauzi memerhati anaknya menjemur buku yang basah akibat banjir semalam. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang wanita sarat mengandung tujuh bulan terpaksa meredah banjir sejauh kira-kira dua kilometer untuk pulang ke rumah di Kampung Mohd Amin, di sini, risaukan tiga anaknya terperangkap dalam bencana itu semalam.

Norliza Fauzi, 37, pembantu kedai makan di Hutan Bandar di sini berkata, dia sedang bekerja ketika banjir melanda kampung berkenaan, manakala tiga anak berusia lima hingga 10 tahun berada di rumah yang disewanya sejak lebih 20 tahun itu.

“Apabila suami telefon beritahu air di kawasan rumah sudah naik tinggi, saya minta kawan hantar pulang kerana bimbang tiga anak berusia lima hingga 10 tahun yang ada di rumah. Namun, hanya boleh sampai di Dataran Bandaraya Johor Bahru sahaja.

“Selepas itu saya terpaksa berjalan meredah banjir sejauh dua kilometer kerana jalan raya tidak boleh dilalui kenderaan. Apabila sampai di rumah pula, tidak boleh masuk kerana air naik terlalu tinggi. Rumah sewa saya di tingkat atas, anak-anak ada di rumah, suami pula sedang berusaha selamatkan kereta.

“Saya nampak anak-anak menangis, tapi terpaksa tunggu air surut baru boleh pergi kepada mereka,” katanya memaklumkan kampung berkenaan dilanda banjir kilat tiga kali dalam seminggu, termasuk kejadian terbaharu semalam.

“Saya menyewa rumah di kawasan ini sejak lebih 20 tahun, biasanya lebih 10 kali banjir kilat dalam setahun, namun semalam yang paling buruk apabila air naik hingga paras leher orang dewasa,” katanya.

Pesara, Mohd Rahmat Ibrahim, 59, berkata, banjir kilat semalam boleh disifatkan terburuk di bandar raya Johor Bahru dalam tempoh 60 tahun, dipercayai disebabkan pembangunan pesat dan projek pembinaan sekitarnya.

“Kalau tengok sekarang, longkang semua dibina tertutup, ada saliran bawah tanah. Apabila hujan lebat, air seolah tak dapat ditampung dan kemudian melimpah. Memang semalam banjir paling buruk, tidak pernah air naik sampai paras leher.

“Kami bimbang setiap kali hujan, semalam pun kami nak keluar, apabila hujan, terpaksa batalkan hasrat, memang betul banjir. Saya cuba alih kenderaan, tak sangka jalan juga dinaiki air, habis kenderaan tenggalam,” katanya memaklumkan air naik ke paras pinggang hanya selepas 10 minit hujan lebat.

Berdasarkan laporan Pejabat Daerah Johor Bahru, sebanyak 38 lokasi di sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat semalam.

Loading...
Terkini