comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita jatuh gaung di Gunung Korbu selamat dibawa keluar 

FOTO: JBPM

IPOH: Seorang wanita yang cedera selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter semasa menuruni puncak Gunung Korbu di sini semalam, berjaya dibawa keluar awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 35 tahun itu dibawa keluar dengan selamat kira-kira 1.30 pagi.

“Wanita itu seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Sabarodzi dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada 3.29 petang dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) telah digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun.

“Jarak dari pengkalan (pos operasi) ke tempat kejadian dianggarkan tiga kilometer dengan laluan trek mendaki serta curam, yang mengambil masa dua hingga empat jam perjalanan,” katanya dalam kenyataan.

Sabarodzi berkata, antara kesukaran dihadapi dalam operasi menyelamat itu adalah pendakian dalam gelap melalui lereng dan perlu menempuh tiga anak sungai lebar 10m, trek licin kerana hujan dan perlu membawa peralatan termasuk pengusung.

Katanya, cabaran lain adalah di kawasan itu yang tiada talian telefon.

“Mangsa dikatakan jatuh sewaktu melintas dengan memeluk kayu balak yang tumbang di tebing sungai. Difahamkan, lokasi itu sudah kerap berlaku kes pendaki jatuh,” katanya.

Wanita terbabit dikatakan menyertai trip Pendakian Korbu dan Gayong bersama 34 lagi peserta sejak Sabtu lepas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini