comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita maut, 6 kanak-kanak antara 10 cedera dalam nahas

Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Serkam-Bemban, Serkam, Jasin, hari ini. – Foto ihsan JBPM Melaka

JASIN: Seorang wanita maut, manakala 10 yang lain termasuk 6 kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Serkam-Bemban, Serkam, di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Sukur Md Ali, berkata pihaknya menerima laporan berhubungan nahas itu pada jam 5.13 petang tadi.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota dari BBP Merlimau dikerahkan ke tempat kejadian dan tiba 12 minit kemudian.

“Setiba di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Persona dan Toyota Camry.

“Enam individu membabitkan tiga dewasa dan tiga kanak-kanak menaiki Proton Persona, manakala Toyota Camry pula dinaiki dua dewasa dan tiga kanak-kanak.

“Seorang wanita yang juga penumpang Proton Persona disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan, dan semua mangsa yang lain cedera,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Seramai 13 anggota terbabit operasi yang turut dibantu pasukan dari BBP Jasin Bestari, termasuk dua orang daripada Unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Loading...
Terkini