Oleh: Kumaran Rajamoney
SLIM RIVER: Seorang wanita maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan sebuah lori di kilometer 363.8 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan) di sini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Supritenden Mohd Hasni Mohd Nasir dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 6.23 pagi tadi.
Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Nissan Serena yang dipandu seorang lelaki bersama rakan wanita sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Puchong.
“Apabila tiba di lokasi pemandu kereta itu didakwa cuba mengelak sebuah lori jenis Hino Rigid yang berada di hadapan kenderaannya.”
“Bagaimanapun, kereta itu gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang lori sehingga mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu berpusing dan terbabas,” katanya.
Akibat dari pelanggaran itu, penumpang kereta yang dikenali sebagai Nuraisyatul Humairah Mohd Radzi, 20 meninggal di lokasi.
Dua penumpang lori berusia lingkungan 20-an turut mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Slim River bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Pemandu kedua-dua kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat dibawah Seskyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.