comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Wanita maut digilis lori dipandu lelaki positif dadah

FOTO : Orang awam

SEMENYIH: Seorang penunggang motosikal wanita maut selepas digilis lori dipandu lelaki positif dadah dalam kejadian di Jalan Sungai Lalang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Semenyih.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang membabitkan sebuah motosikal dan lori jam 3.26 petang tadi.

“Difahamkan ketika kejadian, penunggang motosikal wanita berusia 56 tahun itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu cuba memotong di sebelah kiri lori terbabit sebelum bergesel dengan kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zaid berkata, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit jatuh di atas jalan dan digilis tayar belakang lori terbabit.

“Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal terbabit parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu lori terbabit pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap pemandu lori itu didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Isa Ahmad di talian 016-4436149 bagi membantu siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini