comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita maut, motosikal dinaiki empat beranak rempuh lembu 

Foto: Ihsan keluarga

GUA MUSANG: Seorang wanita meninggal dunia setelah tiga hari dalam rawatan selepas motosikal dinaiki merempuh lembu berkeliaran di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, Rabu lalu.

Mangsa, Fazleeen Mohd Yusoff, 31, yang cedera parah di kepala, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada jam 1.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pada Rabu lalu, mangsa bersama suami, Nik Amdan Mohd Ali, 28, serta dua anak mereka, Nik Nur Irdina Sofia, 7, dan Nik Nur Irdina Arisha, 4, yang menunggang motosikal Honda RS150R mengalami kemalangan kerana
merempuh anak lembu di lokasi terbabit kira-kira jam 5 petang.

Katanya, empat beranak itu yang tinggal di Paloh 1 itu dikatakan dalam perjalanan menghantar kuih kepada pelanggan di Paloh 3.

“Akibat daripada kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke HUSM.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di HUSM pada jam 1.10 pagi ini oleh Pegawai Perubatan Sarjana Jabatan Perubatan Kecemasan HUSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan pada pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Nik Arnida, 41, berkata, jenazah adik iparnya selamat dikebumikan di kampungnya di Tanah Perkuburan Islam Tok Uban, Pasir Mas pada jam 11 pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini